Firma Kemboja kurangkan jam bekerja gajah

Firma Kemboja kurangkan jam bekerja gajah

PHNOM PENH, 26 April – Seorang operator pelancongan Kemboja mengatakan hari ini ia akan mengurangkan jam bekerja bagi gajah-gajah semasa suhu tinggi berikutan insiden seekor gajah yang membawa pelancong telah jatuh pengsan dan mati, pada suhu panas ketika itu mencecah 40 darjah Celsius.

Gajah betina, berusia antara 40-45, mati di tepi jalan pada Jumaat selepas membawa pelancong di sekitar kompleks kuil Angkor Wat luar Siem Reap yang terkenal di Kemboja.

Gambar itu meluasnya dikongsi dalam media sosial, mencetuskan gesaan bagi Kemboja untuk membaharui industri penunggangan gajah yang sudah pun dilanda kontroversi.

Pengurus Syarikat Angkor Elephant, Oan Kiri, memberitahu AFP hari ini bahawa doktor haiwan percaya strok haba adalah menjadi punca kematian.

“Doktor haiwan mengatakan bahawa kematian gajah itu adalah berpunca daripada suhu panas yang mengakibatkan stres, kekejutan, tekanan darah tinggi dan serangan jantung,” ujarnya.

Gajah itu telah bekerja sekitar 45 minit, berjalan 2.1 kilometer membawa pelancong, sebelum ia jatuh pengsan dalam perjalanannya ke kandangnya.

Tambahnya lagi, syarikat itu ‘berasa sesal dan simpati’ dan akan membiarkan gajah yang lain sebanyak 13 ekor untuk bekerja pada jam yang dikurangkan sehingga suhu menurun.

Rantau Greater Mekong mengalami musim panas dan kering di mana suhu 40C (104 Fahrenheit) adalah tidak seperti biasa. Tahun ini ia menyaksikan musim panas.

Kumpulan hak asasi haiwan sudah lama mengadu yang gajah-gajah tersebut yang memberi tunggangan kepada para pelancong di seluruh rantau yang secara rutinnya terlebih kerja dan secara kejam dipukul semasa latihan.

Thailand sudah lama menyaksikan pelbagai kes-kes beberapa bulan kebelakangan di mana gajah-gajah telah membunuh penjaganya atau menyerang pelancong.

Petisyen telah dibuat ke atas Change.org yang menyeru pihak berkuasa Kemboja untuk menamatkan tunggangan gajah di Angkor telah mengumpulkan 24,500 tandatangan pada petang hari ini. – AFP