Firma keselamatan siber tawar ganjaran AS$1 juta godam iOS 9

Firma keselamatan siber tawar ganjaran AS$1 juta godam iOS 9

PARIS, 27 Sept (AFP) – Firma keselamatan komputer Zerodium menawarkan ganjaran AS$1 juta (RM4.3 juta) kepada penggodam yang berjaya menembusi sistem operasi telefon bimbit iOS 9 terbaru Apple, baru-baru ini.

Zerodium, dilancarkan awal tahun ini di Amerika Syarikat (AS) oleh pakar keselamatan online Perancis, Chaouki Bekrar, berkata ia akan membayar AS$1 juta setiap seorang kepada sehingga tiga orang atau pasukan yang berjaya memecah masuk ke dalam iPhone atau iPad dilengkapi perisian iOS 9.

Syarikat itu dalam satu kenyataan online pada Selasa, berkata, bagi memenangi ganjaran itu, penggodam perlu menggunakan ruangan web atau mesej teks untuk memintas dari jauh sistem keselamatan iOS 9 dan secara berasingan memasang satu aplikasi dalam iPhone atau iPad menjelang 31 Oktober ini.

Penggodam perlu mengeksploitasi kelemahan yang tidak diketahui sebelum ini dalam sistem keselamatan.

Zerodium berkata, sistem operasi Apple adalah paling selamat di pasaran.

“Namun jangan tertipu. Selamat tidak bermaksud tidak dapat ditembusi, ia hanya bermaksud iOS ketika ini lebih mahal dari segi kos dan pendedahan tinggi kepada eksploitasi dan di sinilah ganjaran godaman itu bermakna,” katanya.

Zerodium berkata syarikat itu memberi ganjaran kepada penyelidik bebas kerana menemui kelemahan perisian baharu itu dan kemudian menganalisis data keselamatan bagi membantu pelanggan korporat dan agensi kerajaan untuk mempertingkat sistem pertahanan online.

“Kekuatan iOS pada asasnya adalah lapisan keselamatan yang terdedah oleh setiap individu namun amat berkesan bersama.

Justeru agak mustahil untuk menyerang setiap satu elemen ini, yang memerlukan masa panjang dan mahal,” kata Bekrar.

Pemilik Zerodium itu berkata beberapa penyelidik melahirkan minat dengan ganjaran itu. Katanya, Apple bagaimanapun tidak dimaklumkan berhubung ganjaran berkenaan. Apple yang melancarkan iOS 9 pada 16 September lalu, gagal dihubungi untuk mengulas.

ARTIKEL YANG SAMA