Firma M’sia digesa labur dalam pasaran India

Firma M’sia digesa labur dalam pasaran India

NEW YORK, 22 April – Syarikat tenaga Malaysia boleh meneroka peluang pelaburan pasaran tenaga India yang luas, terutama ketika negara itu menyasarkan untuk memasang kapasiti solar 100 gigawatt menjelang 2022.

Menteri Tenaga, Arang Batu dan Tenaga Boleh Baharu India, Piyush Goyal, berkata India sudah berkembang maju, daripada pengeluran arang batu gaya lama kepada pengeluaran arang batu yang lebih moden dan kurang pencemaran.

“Rancang besar kami dalam sektor tenaga dijangka menarik minat pelabur asing.

“Kami merancang menamatkan secara berperingkat-peringkat loji tenaga yang mencemarkan alam sekitar kepada kemudahan terkini menggunakan teknologi bersih serta menjayakan bentuk tenaga yang lain,” katanya kepada Bernama selepas taklimat media di Konsulat Jeneral India di sini.

Goyal mengetuai delegasi kementeriannya ke New York bagi menyertai Perikatan Solar Antarabangsa (ISA) yang berlangsung di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di sini.

Menyebut India sebagai ‘tiada pasaran lain di dunia sepertinya’ beliau berkata pasaran tenaga India kini bernilai kira-kira AS$215 bilion dalam bentuk pelaburan jangka pendek manakala pelaburan jangka panjang mampu mencecah angka trilion.

“Walaupun jualan kami disasarkan kepada syarikat Amerika Syarikat, peluang pelaburan juga menarik syarikat Malaysia yang mempunyai pengalaman luar dalam sektor tenaga dan infrastruktur di India,” katanya.

Goyal berkata India juga akan membangunkan secara agresif bentuk tenaga boleh baharu yang lain yang dapat menurunkan kadar pelepasan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA