Firma perladangan digesa tingkat penyelidikan biodiesel

Firma perladangan digesa tingkat penyelidikan biodiesel

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Firma-firma perladangan perlu meningkatkan usaha penyelidikan bagi mempromosikan minyak sawit sebagai pilihan utama untuk biodiesel, kata ahli ekonomi.

Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata negara ini masih ketinggalan dalam kajian bagi meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam pengeluaran biodiesel dan ini merupakan cabaran yang besar bagi firma-firma Malaysia untuk menjadi pemimpin teknologi dalam bidang tersebut.

“Cabaran terbesar adalah ke mana kita akan pergi seterusnya…dan terdapat peluang besar yang datang daripada keperluan untuk bidang-bidang yang boleh diperbaharui dan minyak sawit merupakan minyak sayur-sayuran yang termurah.

“Ia mempunyai potensi yang besar untuk menjadi biodiesel (bahan ramuan) yang terbaik. Jika ia terus ketinggalan, penyelidikan yang lain akan mempromosikan minyak lain sebagai asas biodiesel dan ini akan menyebabkan kita kehilangan peluang,” kata Jomo.

Jomo, yang juga Felo Pelawat Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah, berkata demikian kepada pemberita semasa hari pertama Forum Khazanah Megatrends 2016 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucapan pembukaan di forum berkenaan.

“Kita mempunyai satu firma yang amat dominan dalam minyak sawit, iaitu Sime Darby. Walaupun begitu, saya tidak nampak satu usaha besar ke arah ini. Saya berharap akan wujud kejayaan di sektor awam,” katanya.

Sementara itu, Jomo berkata kerajaan perlu memberi fokus bagi menangani isu pekerja asing dan penuaan penduduk. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA