Firma Thai di Malaysia minat tambah pelaburan

Firma Thai di Malaysia minat tambah pelaburan

BANGKOK, 2 Mac (Bernama) – Banyak syarikat Thailand di Malaysia berminat menambah pelaburan dan meluaskan operasi masing-masing di negara itu (Malaysia), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang menemui pasukan pengurusan kanan lima syarikat Thailand yang mempunyai operasi di Malaysia, berkata mereka mahu meningkatkan pelaburan di negara itu.

Syarikat terbabit terdiri daripada Berli Juncker pcl, Tipco Asphalt plc, Thai Beverage plc, Charoen Pokphand Foods pcl dan Interlink Thailand.

“Mereka nampak banyak peluang (di Malaysia). Malaysia merupakan pilihan semula jadi mereka disebabkan jaraknya yang dekat. Saya menemui mereka dan mereka memaklumkan hendak menambah pelaburan di Malaysia, suatu keputusan yang baik,” katanya kepada media selepas menghadiri seminar mengenai ‘Peluang-peluang Perniagaan di Malaysia dan Thailand’ di sini Rabu.

Turut hadir Menteri Industri Thailand Atchaka Sibunruang.

Mustapa singgah di sini untuk menghadiri seminar itu sebelum berlepas di Chiangmai untuk menyertai pemukiman Menteri-menteri Ekonomi ASEAN.

Syarikat Thailand katanya kini agresif membuat peluasan ke luar negara dan mahu menggunakan Malaysia sebagai asas masing-masing di ASEAN dan dunia disebabkan kedudukan politik dan ekonomi negara ini yang stabil.

Beliau berkata Charoen Pokphand Foods, syarikat pemprosesan makanan yang mempunyai operasi di peringkat global, mahu meluaskan operasinya di Malaysia dan menjadikannya pangkalan industri halal.

“Mereka melihat Malaysia sebagai negara yang kehadapan dalam industri halal,” katanya dan menambah beliau terkejut atas kehadiran banyak syarikat Thai.

Penganjur menjangkakan kira-kira 400 wakil daripada syarikat Thai namun angkanya melepasi 500. Mustapa berkata hubungan dua hala Malaysia Thai berkembang maju dengan dagangan dan pelaburan selain pelancongan berkembang di kedua-dua negara.

“Thailand ialah rakan dagang kelima terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai AS$22 bilion (AS$1=RM4.15) tahun lepas.

Sementara itu, wakil Charoen Pokphand Foods, yang berucap pada seminar itu berkata dari segi industri halal, Malaysia merupakan destinasi terbaik untuk melabur berbanding negara lain.

Sementara itu, Mustapa berkata beberapa peserta tuan rumah yang menghadiri seminar itu membangkitkan beberapa cabaran dihadapi mereka ketika menjalankan perdagangan di kawasan sempadan, termasuk kekangan infrastruktur dan kesesakan di pintu masuk sempadan.

ARTIKEL YANG SAMA