Firma Thailand manfaatkan Malaysia untuk tembusi pasaran halal

Firma Thailand manfaatkan Malaysia untuk tembusi pasaran halal

BANGKOK, 24 Mei (Bernama) – Firma makanan laut sejuk beku Thailand, Pacific Fish Processing Co (PFP) akan memanfaatkan Malaysia sebagai platform untuk menembusi pasaran makanan halal di negara Islam yang lain.

Sehubungan itu, kata Pengerusinya, Tawee Piyapatana, ia kini dalam proses rundingan dengan Simpee Huat Frozen Food Sdn Bhd bagi membuka satu kilang bersama pada tahun depan dengan nilai pelaburannya sebanyak 150 juta baht (1 baht=RM0.115).

“Menerusi pembukaan asas pengeluaran di Malaysia yang diketahui mempunyai reputasi baik dari segi makanan halal, akan dapat membantu kami mengembangkan usaha ke negara-negara Islam lain selain seiring hasrat kerajaan untuk mengetengahkan makanan halal Thailand,” katanya yang dipetik media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Tawee berkata, kilang bersama itu berkapasiti menghasilkan antara 200-300 tan makanan laut sebulan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjadi pasaran eksport pertamanya.

Syarikat itu turut menjangka dapat menjual sebanyak 30 tan makanan laut termasuk makanan gantian tauhu diperbuat daripada ikan ke UAE pada tahun pertama operasinya di negara Asia Barat berkenaan.

Malah, katanya, jualan itu diunjurkan meningkat sebanyak 50 peratus pada tahun-tahun akan datang.

Thailand juga berhasrat untuk muncul antara lima pengeksport utama makanan halal dunia dalam tempoh lima tahun lagi.

Menurut Tawee, permintaan terhadap makanan laut global itu terus meningkat dan syarikat itu akan mengembangkan saluran pengedarannya di pasaran Eropah dan Amerika Utara yang memiliki kuasa pengguna lebih tinggi.

Bagi pasaran Asia, katanya, syarikat itu akan memberi tumpuan kepada China yang juga pasaran terbesar produk jejari ketam selain pasaran di Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

ARTIKEL YANG SAMA