FIT terima sumbangan komputer

FIT terima sumbangan komputer

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Mahasiswa-mahasiswi dari Fakulti Intergrated Technologies (FIT), Universiti Brunei Darussalam (UBD), petang tadi, telah menerima tajaan komputer daripada Damit Worley-Parsons Engineering Sdn Bhd (DWE).

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Sumber Tenaga Manusia DWE, Haji Hamdan bin Haji Abdul Hamid kepada Penolong Naib Canselor Pentadbiran dan Korporat UBD, Dayang Rubiah binti Haji Yacub pada majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat FIT, Bangunan Intergrated Science, UBD.

Sebanyak 10 unit komputer jenama Dell Precision T1500 ditaja untuk menyokong modul-modul kejuruteraan reka bentuk, yang mana tulang belakang reka bentuk kejuruteraan merupakan salah satu aspek dalam kurikulum di mana mahasiswa akan mengoptimumkan masa mereka meneroka idea-idea baru dan merealisasikannya.

Haji Hamdan menyampaikan tajaan kepada Dayang Rubiah.
Haji Hamdan menyampaikan tajaan kepada Dayang Rubiah.

Dekan FIT, Pengiran Dr. Mohd Iskandar bin Pengiran Haji Petra berkata, tajaan ini menunjukkan inisiatif DWE dalam menyokong pembangunan kapasiti manusia UBD.

Beliau turut memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Konvokesyen ke-27, di mana Baginda mempelawa UBD untuk bekerjasama lebih rapat dengan industri tempatan untuk kepentingan bersama.

“Salah satu strategi Wawasan Negara 2035 adalah untuk membina sumber tenaga bagi membangunkan ekonomi negara kepada 2.5 ganda berbanding 2009. FIT akan mengepalai dalam melahirkan lepasan ijazah kejuruteraan dan pengamal industri untuk keperluan negara,” ujar Pengiran Dr. Mohd Iskandar.

ARTIKEL YANG SAMA