Fit4Good beri kesan positif

Fit4Good beri kesan positif

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Bermula 28 Januari 2016 lalu, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Sekolah Menengah Rimba (SMR) mengendalikan Program Fit4Good yang berakhir dengan majlis penutupnya hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis penutup program berkenaan yang berlangsung di perpustakaan SMR ialah Pengetua SMR, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof.

Seramai 88 orang pelajar dari sekolah berkenaan yang terdiri daripada pelajar Tahun 7 dan 8 serta pelajar Sinar telah terlibat dalam program tersebut, yang mana para peserta diberi markah berdasarkan kepada perubahan pada tabiat pemakanan, kegiatan fizikal dan perubahan.

Tiga penuntut mendapat markah tertinggi telah diberikan hadiah sebagai insentif atau galakan, manakala itu, tujuh orang penuntut menerima hadiah sagu hati yang telah disampaikan oleh tetamu kehormat.

Program enam bulan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kalangan remaja sekolah yang mempunyai berat badan berlebihan dengan mengamalkan cara hidup sihat berpanjangan, sekali gus diharapkan dapat mengawal obesiti dalam kalangan penuntut-penuntut sekolah.

Pengetua sekolah bergambar ramai bersama pelajar-pelajar yang mengikuti Program Fit4Good yang diakhiri dengan majlis penutupnya.
Pengetua sekolah bergambar ramai bersama pelajar-pelajar yang mengikuti Program Fit4Good yang diakhiri dengan majlis penutupnya.

Haji Malai Shah Eran dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa program berkenaan telah menunjukkan kesan yang positif kepada para pelajar.

“Daripada pemantauan kita, pelajar-pelajar mulai aktif melakukan aktiviti senaman dan dapat melakukan senaman dengan teknik yang betul, bagi saya amat penting agar ia benar-benar bermanfaat untuk dijadikan budaya kehidupan seharian kita.”

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengetengahkan mengenai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkenan bercemar duli semasa aktiviti Riadah Berbasikal Keputeraan baru-baru ini.

“Baginda sendiri telah menamatkan kayuhan berbasikal sejauh 15km. Ini jelas menampakkan betapa Baginda mengambil berat tentang penjagaan kesihatan ini. Pemedulian Baginda ini jelas pada titah Baginda mengenai masalah kesihatan iaitu obesiti di negara ini yang semakin meningkat.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia sememangnya raja yang sudah cukup untuk kita selaku rakyat contohi, dengan usia Baginda mencecah 70 tahun ini malah semakin aktif, jadikanlah ini sebagai sukat-sukat untuk diri kita sendiri, muhasabah diri kita,” ujarnya.

Program ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kesihatan dalam merangka langkah-langkah pencegahan dan pengawalan obesiti, terutamanya bagi para pelajar dan remaja amnya serta selaras dengan strategi utama kementerian,  iaitu ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit dan Kesihatan Tanggungjawab Semua’.

Kajian sebelum ini telah mendapati bahawa jika obesiti tidak ditangani di peringkat awal lagi, kanak-kanak dan remaja yang obes akan membesar menjadi dewasa yang obes.

Sepertimana yang dimaklumi, obesiti dalam kalangan remaja sekolah meningkat dari setahun ke setahun, dan hasil dapatan daripada Tinjauan Kesihatan Sekolah Global 2014 yang telah dikendalikan di negara ini menunjukkan kadar obesiti dalam kalangan penuntut berumur 13 hingga 15 tahun adalah 17.7 peratus.

Oleh yang demikian, menangani isu obesiti di peringkat awal boleh menjadi satu strategi yang cost effective dan berkesan bagi membanteras penyakit-penyakit tidak berjangkit di Negara Brunei Darussalam nanti.

ARTIKEL YANG SAMA