Fitness Zone, Bake Culture beri sokongan atlet sukan

Fitness Zone, Bake Culture beri sokongan atlet sukan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Fitness Zone dan Bake Culture telah menunjukkan sokongan kepada negara terutamanya dari segi kesihatan dan sukan, dan kini mereka menyokong atlet bola keranjang dalam Piala Borneo.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Pengurusan Fitness Zone dan Bake Culture, Wu Chun ketika satu majlis penyerahan yang berlangsung di Fitness Zone, Kiulap, hari ini.

Juga hadir di majlis penyerahan berkenaan ialah wakil dari Persatuan Bola Keranjang Brunei, Pei Lee; wakil dari Bake Culture, Lex Yong; dan wakil para atlet bola keranjang.

Menurut Wu Chun, kebanyakan atlet kebangsaan berkenaan merupakan ahli kepada kelab kesihatan Fitness Zone.

“Kami sangat bersemangat dalam menyokong orang tempatan kita terutama mereka yang bertanding di luar negara dalam bidang kesukanan dan yang berkaitan dengan kesihatan. Dengan ini, kami memberikan mereka keistimewaan percuma untuk menggunakan gim kami yang lengkap dan dalam masa yang sama juga mereka dapat berlatih dengan jurulatih bertauliah kami yang pakar dalam pelbagai bidang,” jelasnya.

Wu Chun bergambar ramai bersama wakil atlet Bola Keranjang Brunei dan Bake Culture.
Wu Chun bergambar ramai bersama wakil atlet Bola Keranjang Brunei dan Bake Culture.

Sementara itu, Lim Ting Guan dari Persatuan Bola Keranjang Brunei dalam kenyataan akhbarnya pula berkata, “Kami berterima kasih kepada Wu Chun atas sokongan padu dan berterusan beliau dalam mempromosikan bola keranjang di Brunei Darussalam. Sumbangan ini akan membolehkan pemain kami untuk mengambil bahagian dalam pertandingan yang terkenal.”

Manakala itu Bake Culture pula menjelaskan kepercayaan bahawa sukan boleh mewujudkan satu ikatan antara generasi yang berkekalan seumur hidup.

“Dengan memainkan peranan dalam menggalakkan golongan belia yang berpotensi dan memberi mereka pengalaman yang sangat tinggi adalah satu keistimewaan yang besar bagi kami.”

Kelab kesihatan berkenaan telahpun menaja kebanyakkan atlet tempatan termasuk Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, para perenang, dan baru-baru ini pelari pecut 100m, Awang Fakhri Damit yang mewakili Brunei di Olimpik Rio.

Fitness Zone juga baru-baru ini telah menaja wakil bola keranjang untuk Kejohanan Bola Keranjang Universiti Asian 3×3 ke-2 yang diadakan di Macau.

ARTIKEL YANG SAMA