Fitness Zone, Plus + perbaharui usaha sama

Fitness Zone, Plus + perbaharui usaha sama

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Pusat kecergasan kesihatan, Fitness Zone, hari ini memperbaharui usaha samanya dengan majalah kesihatan dan gaya hidup tempatan, Plus +, dalam usahanya untuk mempromosi gaya kehidupan yang sihat di kalangan masyarakat di negara ini.

Menandatangani kontrak memperbaharui usaha sama itu bagi pihak Plus + ialah Pegawai Pembangunan Perniagaan, Louis Loo Kee Lee, sementara Fitness Zone diwakili oleh Pengurus Besarnya, Citadel Alfaro.

Pada pertemuan dengan pemberita di Kelab Fitness Zone, Kiulap, hari ini, Citadel Alfaro berkata, Plus + banyak membantu pusat kesihatan itu dalam mempromosikan aktiviti kesihatan yang dirancang dan atas dasar itu, Fitness Zone membuat keputusan untuk melanjutkan kontrak usaha sama yang memanfaatkan kedua-dua pihak bagi tempoh setahun lagi.

Menurutnya lagi, pada masa yang sama, Plus + banyak memberikan pendedahan tidak hanya mengenai pelbagai bentuk senaman bermanfaat yang diketengahkan oleh Fitness Zone, malah pendedahan juga diberikan terhadap para jurulatih kesihatan pusat itu yang memiliki pelbagai latar belakang mengenai teknik senaman optimum.

Citadel Alfaro (kiri) dan Louis Loo selepas menandatangani kontrak melanjutkan usaha sama Fitness Zone dan Majalah Plus +.
Citadel Alfaro (kiri) dan Louis Loo selepas menandatangani kontrak melanjutkan usaha sama Fitness Zone dan Majalah Plus +.
Citadil Alfaro (kiri), Louis Loo dan seorang kakitangan Fitness Zone bergambar sambil memegang Majalah Plus + selepas upacara menandatangani kontrak pembaharuan usaha sama.
Citadil Alfaro (kiri), Louis Loo dan seorang kakitangan Fitness Zone bergambar sambil memegang Majalah Plus + selepas upacara menandatangani kontrak pembaharuan usaha sama.

“Dengan mengetengahkan setiap personaliti jurulatih Fitness Zone dalam edisi bulanan Plus +, penggemar aktiviti senaman kesihatan akan mendapat gambaran lebih mendalam dan fokus mengenai bentuk senaman kesihatan dan kebolehan jurulatih kami di semua pusat kesihatan Fitness Zone,” katanya.

Sependapat dengan Alfaro, Louis Loo berkata, atas dasar perjuangan yang sama iaitu mempromosi kesihatan dan gaya hidup sihat, majalah berkenaan juga berbesar hati untuk mengisi ruangannya dengan berita dan rencana mengenai latihan senaman terbaru, jurulatih paling progresif dan teknologi penjagaan kesihatan yang diperkenalkan oleh Fitness Zone.

Menceritakan mengenai kerjasamanya dengan Kementerian Kesihatan, Loo berkata, Plus+ banyak menyiarkan rencana kesihatan yang mendapat persetujuan dan kelulusan kementerian itu. Antara kerjasama seterusnya, majalah berkenaan dan kementerian tersebut ialah sambutan Hari Kanser Sedunia pada Oktober depan, ujarnya.

Pada pertemuan media itu juga, Alfaro mengumumkan mengenai kempen kesihatan seterusnya yang dianjurkan oleh Fitness Zone dengan kerjasama Plus +, iaitu Kempen She Rides yang akan diadakan pada 24 September depan sempena sambutan Hari Jantung Sedunia.

Beliau menjelaskan, seperti penganjuran kempen kesihatan She Runs, Fitness Zone telah mendapat banyak pendedahan melalui penerbitan Plus +, dan bagi Kempen She Rides yang dianjurkan secara percuma pada kali ini, pusat kesihatan itu juga mendapat kerjasama yang menggalakkan daripada majalah itu.

Ditanya mengenai kempen yang bakal dianjurkan itu, Alfaro menjelaskan She Rides akan diadakan di cawangan Fitness Zone, Serusop dan mengehadkan penyertaan maksimum untuk 40 peserta daripada kalangan ahli dan bukan ahli Fitness Zone.

Sehubungan itu, mereka yang ingin menyertai kempen berkenaan diminta untuk menelefon terus atau datang sendiri ke pusat kesihatan itu secepat mungkin kerana penyertaan adalah atas dasar yang dahulu didahulukan.

ARTIKEL YANG SAMA