Fleksibiliti pinjaman hartanah

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) bermula 10 Ogos, melakukan pindaan baru ke atas Notis Nisbah Keseluruhan Khidmat Hutang atau Total Debt Service Ratio (TDSR) kepada semua bank dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).

TDSR merupakan nisbah pembayaran pinjaman bulanan kepada gaji bersih bulanan peminjam berkenan.

AMBD dalam kenyataannya mengatakan, mulai 8 Jun 2015, TDSR maksimum yang ditetapkan oleh AMBD adalah 60 peratus bagi peminjam yang mempunyai gaji bersih minimum $1,750, manakala bagi peminjam yang mempunyai gaji bersih bulanan di bawah $1,750, perkiraan TDSR adalah tertakluk kepada dasar dalam institusi kewangan masing-masing, termasuk keperluan minimum bagi perbelanjaan bulanan mereka.

Namun baru-baru ini, AMBD telah menerima maklum balas bahawa dasar TDSR telah mengehadkan beberapa peminjam daripada mendapatkan pinjaman hartanah. Oleh itu, hasil penelitian lanjut, AMBD telah mengambil inisiatif untuk meminda dasar TDSR dan memberikan fleksibiliti kepada peminjam-peminjam berkenaan.

Sehubungan itu, mulai 10 Ogos, AMBD menaikkan kadar TDSR daripada 60 peratus kepada 70 peratus maksimum hanya bagi pembiayaan untuk pembinaan atau pembelian hartanah sahaja seperti rumah.

Pindaan ini diharap dapat menggalakkan pemilikan rumah khususnya bagi peminjam yang mempunyai gaji bersih $1,750 dan ke atas, seterusnya memberikan pilihan lebih luas kepada pengguna untuk pembelian rumah. Pada masa yang sama, pindaan ini diharap dapat merangsang pasaran hartanah tempatan melalui peningkatan pembiayaan bank yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, ke arah mencapai Wawasan 2035.

Menurut AMBD lagi, pelaksanaan TDSR bertujuan melindungi para peminjam daripada terperangkap dalam bebanan hutang-piutang yang tidak terkawal. Ia mengehadkan tahap pinjaman seseorang berdasarkan pendapatan bulanannya bagi memastikan tanggungan pembayaran balik hutang adalah pada paras terkawal, seterusnya membantu peminjam mempunyai baki pendapatan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan seharian.

Dari Jun 2015 hingga Jun 2017, sebanyak 119,467 permohonan pinjaman telah diterima oleh bank dan syarikat kewangan. Hanya 2.7 peratus daripada jumlah tersebut telah ditolak kerana peminjam melebihi had TDSR yang menunjukkan kadar penolakan rendah. Lebih separuh daripada jumlah peminjam juga dilaporkan mempunyai had TDSR yang kurang daripada 60 peratus.

Di peringkat negara, hasil daripada pelaksanaan dasar TDSR telah menunjukkan beberapa kesan positif seperti penurunan hutang isi rumah di mana jumlah pinjaman peribadi (termasuk kad kredit) telah menurun sebanyak 30.4 peratus daripada 2.3 bilion pada 2010 kepada 1.6 bilion pada Jun 2017. Ini menunjukkan pertumbuhan pinjaman peribadi yang stabil dan terkawal dalam kalangan isi rumah di negara ini;

Ia juga menurunkan nisbah hutang yang tertunggak atau Non Performing Loan Ratio bagi sektor isi rumah daripada 2.3 peratus pada Disember 2014 kepada 1.9 peratus pada Jun 2017. Ini menunjukkan pengurusan hutang yang lebih bijak dan berdisiplin oleh sektor isi rumah dan pemberian pembiayaan yang lebih berhemat dan berwaspada oleh bank dan syarikat kewangan.

AMBD, selaku pengawal selia dan penyelia sektor kewangan, sentiasa memantau keberkesanan peraturan-peraturan yang dikeluarkan untuk memastikan ianya selaras dengan persekitaran ekonomi dan pasaran semasa. Sebagai contoh, pada Oktober 2015, AMBD memberikan kelonggaran terhadap dasar TDSR terutamanya bagi peniaga-peniaga, di mana pendapatan yang bukan tetap seperti pendapatan sewa dan perniagaan yang lain adalah diambil kira dalam pengiraan pendapatan bulanan bersih, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Selain daripada itu, kad kredit yang dijamin dengan simpanan tetap juga dikecualikan daripada perkiraan TDSR.

Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web AMBD di www.ambd.gov.bn; memuat turun AMBD App secara percuma melalui App Store atau Google Playstore atau mengikuti AMBD di Instagram @autoriti_monetari.