Fletcher bantu Marseille benam Trelissac 2-0

Fletcher bantu Marseille benam Trelissac 2-0

PARIS, 12 Feb – Penyerang Scotland, Steven Fletcher, menandakan kemunculan pertamanya untuk Marseille dengan menjaringkan gol untuk membantu pasukannya menewaskan pasukan kerdil Trelissac 2-0 dalam aksi Piala Perancis, awal pagi tadi.

Fletcher beraksi 90 minit dalam pertemuan 16 terakhir di Bordeaux menentang pasukan divisyen keempat itu dan memastikan kemenangan memihak kepada Marseille apabila tidak menghadapi masalah menyudahkan gerakan dicipta Abdelaziz Barrada tiga minit sebelum tamat permainan.

Jaringan itu hadir selepas dia membantu menghasilkan gerakan gol pertama perlawanan oleh Romain Alessandrini di babak pertama tatkala Marseille mara ke suku akhir walaupun mendapat tentangan sengit daripada Trelissac yang menumpaskan Lille menerusi penentuan sepakan penalti dalam pusingan sebelum ini. Marseille, yang kali terakhir menjuarai Piala Perancis buat kali ke-10 pada 1989, seterusnya akan berdepan pasukan amatur divisyen kelima Granville di laman sendiri bulan depan.

Juara bertahan, Paris Saint-Germain menempah tiket ke suku akhir dengan mengatasi Lyon 3-0 di Parc des Princes pada Rabu lalu dengan diketuai dua jaringan Zlatan Ibrahimovic.

Nantes, Lorient, Saint-Etienne dan Ajaccio adalah antara pasukan lain Ligue 1 yang layak ke suku akhir, dengan pasukan divisyen dua, Sochaux melengkapkan senarai lapan pasukan terbaik itu. – AFP

Aksi Fletcher ketika dalam perlawanan menentang Trelissac. Marseille berjaya menewaskan pasukan Trelissac 2-0 dalam aksi Piala Perancis. –  AFP
Aksi Fletcher ketika dalam perlawanan menentang Trelissac. Marseille berjaya menewaskan pasukan Trelissac 2-0 dalam aksi Piala Perancis. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA