Floria Diraja Putrajaya berkonsepkan taman ajaib

Floria Diraja Putrajaya berkonsepkan taman ajaib

PUTRAJAYA, 3 Feb – Hutan Mistik, Dunia Duyung dan Laman Manisan merupakan antara tarikan edisi kesembilan festival bunga dan taman terbesar di rantau ini, Floria Diraja Putrajaya, yang akan berlangsung di sini pada 27 Mei hingga 4 Jun depan.

Berkonsepkan ‘Keajaiban Dunia Floria’, Floria Diraja Putrajaya kali ini mengguna pakai teknologi terkini Eropah yang akan menyentuh lima deria pengunjung iaitu lihat, dengar, rasa, hidu dan sentuh.

Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Seri Hasim Ismail berkata bunga kekwa dipilih sebagai bunga tema Floria Diraja Putrajaya kali ini yang bakal mempamerkan 400,000 pokok pelbagai spesies dalam ruang pameran seluas 29 ekar (11.6 hektar).

“Tahun lepas, Floria Diraja Putrajaya berjaya menarik 750,000 pengunjung dan angka tersebut dijangka mencecah satu juta tahun ini.

“Jangkaan ini adalah berdasarkan penganjuran Floria Diraja Putrajaya kali ini pada musim cuti persekolahan di Malaysia dan Singapura malah Thailand,” katanya pada pemberita di sini hari ini.

Hasim berkata Taman Diraja pada edisi kali ini berkonsepkan negeri Johor.

Katanya buat julung kalinya Floria Diraja Putrajaya juga akan menganjurkan Dialog Floria Diraja Antarabangsa.

Tarikan lain ialah Taman Kekwa, Taman Muzika dan pameran perahu berhias Magic of The Night pada setiap malam.

Tiket bagi Floria Diraja Putrajaya akan dijual secara dalam talian di laman web www.floriaputrajaya.com.my mulai 1 Mac.

Bayaran masuk bagi warganegara Malaysia dewasa ialah RM7.50 dan RM3.50 bagi kanak-kanak, sementara bagi Magical Gardens bayaran masuk bagi dewasa ialah RM10.50 dan RM5.50 untuk kanak-kanak.

Bagi bukan pemegang MyKad, bayaran masuk bagi dewasa ialah RM22 dan RM11 untuk kanak-kanak. – Bernama