FOB diwujudkan bagi keselamatan perairan Sabah

FOB diwujudkan bagi keselamatan perairan Sabah

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara daripada ancaman luar, polis marin akan mewujudkan sebuah Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, Sabah bagi menjaga keselamatan perairan negeri itu.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman SAC Abdul Rahim Abdullah berkata FOB itu yang bakal dibina pada tahun ini membabitkan peruntukan RM25 juta dan ia akan bertindak sebagai markas taktikal.

“FOB berkenaan akan dioperasikan oleh polis marin dan turut dianggotai pasukan Komando VAT 69, pasukan Gerakan Am dan pasukan Gerakan Khas (Unit Tindakan Khas).

“Apabila FOB itu siap dibina, kami akan menempatkan 10 buah bot di sana dengan kawasan litupan menjangkau sehingga ke Pulau Si Amil dan Pulau Sipadan di Sabah serta persempadanan Indonesia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pembinaan FOB itu merupakan perancangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan polis marin.

 SAC Abdul Rahim Abdullah berkata polis marin akan mewujudkan sebuah Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, Sabah bagi menjaga keselamatan di perairan negeri itu. - Bernama

SAC Abdul Rahim Abdullah berkata polis marin akan mewujudkan sebuah Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, Sabah bagi menjaga keselamatan di perairan negeri itu. – Bernama

Abdul Rahim berkata dengan pembinaan FOB itu di pulau berkenaan ia sekali gus memberi keselesaan dan ketenteraman kepada pelancong yang datang ke sana tanpa sebarang kegusaran daripada ancaman luar.

Katanya, pembinaan FOB itu merupakan projek perintis Esscom dan polis marin sebagai markas taktikal dalam mengawal selia kawasan keselamatan perairan.

“Kami akan bina sebuah FOB dulu di pulau itu (Pulau Mabul) sebagai percubaan jika ia efektif barulah kami akan bina di pulau sekitar Sabah serta di negeri lain,” katanya.

Beliau berkata apabila FOB itu telah siap dibina ia akan dipasangkan dengan peralatan canggih antaranya seperti ‘infrared thermal images’, radar pengawasan dan kamera litar tertutup bagi mengesan musuh.

“Peruntukan kami telah ada…tinggal nak lancarkan sahaja dan pasang siap maka tak banyak kerja lagi tapi masih dalam pertimbangan pihak Esscom.

“Projek FOB ini juga merupakan sebahagian usaha kerajaan dan ia telah membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan lagi keberkesanan pasukan polis dalam memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tahap keselamatan di perairan Sabah ketika ini, Abdul Rahim berkata keadaan keselamatan di perairan negeri itu terkawal.

“Pihak saya sentiasa membuat rondaan selama 24 jam serta pengawasan bersama agensi keselamatan lain, dilakukan dalam usaha menangani sebarang ancaman di kawasan tertentu sekitar perairan Sabah,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA