Fokus kesihatan ibu dan anak

Fokus kesihatan ibu dan anak

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Kementerian Kesihatan pada tahun ini menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Kumpulan Kerja bagi Kesihatan Ibu dan Anak (ATFMCH) ke-4 yang diadakan bermula hari ini hingga 26 November di Kiulap Plaza Hotel, di ibu negara.

Hadir merasmikan mesyuarat tiga hari itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pendekatan terhadap kesihatan ibu dan anak merupakan satu inisiatif yang signifikan dalam menyokong Rangka Strategi ASEAN dalam Perkembangan Kesihatan 2010-2015 (ASEAN Strategic Framework on Health Development).

Selaras dengan itu, Kumpulan Tindakan bagi Kesihatan Ibu dan Anak juga telah ditubuhkan sejak tahun 2011 dengan hasrat untuk mencapai Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) ke-4 dan ke-5 iaitu bagi mengurangkan kadar kematian anak damit dan meningkatkan kesihatan ibu-ibu.

Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah dalam ucapannya pada majlis itu antara lain memberitahu bahawa pencapaian signifikan telah dibuat dalam sasaran MDG seluruh dunia.

Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya sekali gus menyempurnakan pembukaan rasmi Mesyuarat Kumpulan Kerja bagi Kesihatan Ibu dan Anak (ATFMCH) ke-4.
Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya sekali gus menyempurnakan pembukaan rasmi Mesyuarat Kumpulan Kerja bagi Kesihatan Ibu dan Anak (ATFMCH) ke-4.
Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah ketika bergambar ramai bersama peserta ATFMCH.
Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah ketika bergambar ramai bersama peserta ATFMCH.

Dalam MDG 5, Asia Selatan dan Asia Timur telah mencatat pencapaian baik dalam mengurangkan kematian ibu iaitu sebanyak 64 peratus di Asia Selatan dan 57 peratus di Asia Timur.

“Tugas kita adalah untuk meningkatkan dan menjalankan seni bina MDG dan bagaimana untuk membawanya ke hadapan, di samping itu melaksanakan strategi agenda aktiviti-aktiviti Pembangunan Kesihatan ASEAN 2015,” ujarnya.

Mesyuarat ATFMCH kali ini memfokuskan kepada kesihatan ibu dan anak khususnya bagi mendapatkan rawatan serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mencukupi dan berpatutan dalam mempromosikan gaya hidup sihat untuk seluruh rakyat ASEAN.

Sementara itu, antara tujuan mesyuarat ini adalah bagi meneruskan perbincangan mengenai perkara-perkara yang tertangguh daripada Mesyuarat ATFMCH ke-3 tahun lalu dan mengemukakan cadangan-cadangan yang diperlukan serta meneliti semula strategi-strategi dan cadangan dalam kertas Dasar Pasca 2015 Maternal Neonatal Child Health ASEAN Advocacy Tools. Ini secara amnya akan menuju kepada pengukuhan kesihatan ibu dan anak di rantau ASEAN.

Dihadiri oleh wakil-wakil dari negara anggota ASEAN, ASEAN Sekretariat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Tabung Kependudukan PBB (UNFPA), Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan daripada organisasi-organisasi antarabangsa yang berkaitan.

ARTIKEL YANG SAMA