Fokus pengeluaran produk hingga ke tahap industri – Haji Haris

Fokus pengeluaran produk hingga ke tahap industri – Haji Haris

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Mei – Majlis-majlis perundingan mukim dan kampung perlu memfokuskan pengeluaran produk mereka hingga berjaya mencapai ke tahap industri, dan seterusnya mampu menyediakan pekerjaan kepada anak-anak kampung khususnya dan masyarakat pada umumnya.

Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman menjelaskan, produk tidak perlu terlalu pelbagai, tetapi perlu fokus kepada satu keluaran kemudian dipelbagaikan, contohnya jika produk ikan, ia boleh dinilai tambahkan kepada kepelbagaian, tetapi akhirnya mampu menjangkau sebagai produk industri.

Bercakap kepada media, beliau menekankan majlis perundingan kampung perlukan kajian, dan perancangan untuk memantapkan penghasilan produk mereka, seterusnya memerlukan kajian, logistik, kewangan serta mengenal pasti pemasaran yang berstrategi termasuk mendapatkan logo halal, harga yang menarik, bahan-bahannya dan sebagainya, dan paling penting perlulah terancang, dan tidak hanya sekadar sebagai sambilan.

“Harapan saya, supaya majlis-majlis perundingan kampung perlu lebih mantap, proaktif dan bersatu dalam merancang aktiviti khususnya aktiviti ekonomi, yang dapat memberikan manfaat pada penduduk kampung dan masyarakat, yang boleh dijadikan pendapatan sampingan mereka”.

Ditemui semasa Pesta Belait 2016, Haji Haris juga menyatakan harapan supaya acara-acara seperti yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Mumong ini akan dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa, dan akan dapat dikendalikan oleh MPK lainnya.

Haji Haris, menyarankan Majlis Perundingan Kampung perlu fokus dalam mengusahakan produk mereka.
Haji Haris, menyarankan Majlis Perundingan Kampung perlu fokus dalam mengusahakan produk mereka.

Menurut beliau, ia hanya akan dapat dilaksanakan jika ada kesatuan, kesepakatan dan sentiasa berganding bahu dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO’s) yang ada, dan sebagainya.

Beliau juga menekankan, acara seperti itu akan dapat menarik minat orang ramai untuk meramai-ramaikan lagi Daerah Belait, dan Pesta Belait 2016 merupakan satu kejayaan, kerana ia dikendalikan secara besar-besaran dan telah membukakan seluas-luasnya penglibatan peniaga-peniaga tempatan untuk menampilkan produk dan mempromosikan perniagaan mereka di sepanjang pesta ini berlangsung selama sebulan.

“Kita mahu orang ramai terutamanya penduduk setempat akan dapat menyemaikan semangat untuk terus berbelanja di dalam negara, selain berusaha mengajak pengunjung negara jiran untuk datang berbelanja ke negara kita, dengan adanya acara seperti ini, produk tempatan dapat diketengahkan, terutama produk yang mempunyai keunikan yang tidak terdapat di negara lain,” ujarnya.

Beliau juga menyeru supaya peniaga-peniaga tempatan yang terlibat dalam Pesta Belait 2016 supaya mengambil inisiatif masing-masing untuk mempromosikan sama perniagaan mereka dengan menggunakan kemudahan-kemudahan media sosial dan sebagainya, untuk menarik lebih ramai pengunjung datang, termasuk di hujung minggu nanti.

Pesta Belait 2016, anjuran Majlis Perundingan Kampung Mumong dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria serta dikendalikan bersama oleh Syarikat Mizswan dan Syarikat RYS Event Management, akan diadakan selama sebulan bermula 6 Mei hingga 5 Jun depan bertempat di kawasan jalan bulatan Jalan Panglima, Jalan Tengah dan Jalan Sungai menuju ke Kuala Belait serta di kawasan petak jualan makanan di kawasan Tudung Saji di sini.

Berbagai-bagai aktiviti sampingan turut diadakan untuk menambah ceriakan lagi acara tersebut pada setiap Ahad, antaranya pertunjukan kereta pacuan empat roda, pertunjukan dan pertandingan Tamiya dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA