Fokus tangani pengurusan risiko dalam perniagaan

Fokus tangani pengurusan risiko dalam perniagaan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Forum tahunan anjuran Darussalam Assets Sdn Bhd yang memfokuskan mengenai Pengurusan Risiko kali ini diadakan tepat pada waktunya kerana menjadi platform untuk berkongsi idea dan ilmu pengetahuan, di samping dapat menyumbang kepada usaha berterusan kerajaan untuk mendidik komuniti perniagaan di negara ini mengenai Pengurusan Risiko.

Sehubungan itu, usaha Darussalam Assets Sdn Bhd melancarkan beberapa inisiatif asas lain dalam kumpulan syarikatnya seperti Standard Laporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) sebagai prinsip standard perakaunan dan Sistem Perancangan Sumber Perniagaan (ERP) sesuatu yang harus diberikan pujian.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim ketika berucap pada majlis Pelancaran Forum Pengurusan Risiko Sebagai Sebahagian Daripada Pengawalseliaan Korporat di The Empire Hotel & Country Club, hari ini.

Hadir sama pada pelancaran forum itu ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar selaku ahli jawatankuasa selia Darussalam Assets Sdn Bhd, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah selaku ahli jawatankuasa selia Darussalam Assets Sdn Bhd dan Pengerusi Lembaga Pengarah Darussalam Assets Sdn Bhd dan ahli Lembaga Pengarah Darussalam Assets Sdn Bhd yang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II ketika menyampaikan ucapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II ketika menyampaikan ucapan.
Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bergambar ramai bersama tetamu yang lain pada majlis tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bergambar ramai bersama tetamu yang lain pada majlis tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif QAF, Albert Lau yang hadir selaku jemputan.
Ketua Pegawai Eksekutif QAF, Albert Lau yang hadir selaku jemputan.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman berkata, senario perniagaan yang cepat berubah pada masa ini, telah mendorong kebanyakan syarikat untuk memfokuskan kepada mengenal pasti dan menguruskan risiko lebih awal sebelum masalah itu menjejaskan syarikat mereka.

“Dalam hubungan itu sukacitanya saya nyatakan di sini bahawa forum tahunan ini akan menerokai dan membincangkan beberapa aspek dan isu berkaitan Pengurusan Risiko, termasuk kepentingannya yang semakin meningkat dalam dunia perniagaan,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan sesebuah syarikat dan pengurusan risiko boleh mengakibatkan terjejasnya reputasi, kerugian ekonomi kepada para pemegang kepentingan, kecederaan peribadi, kehilangan nyawa dan harta benda serta bencana alam.

Katanya lagi, dalam persekitaran perniagaan hari ini dan keadaan ekonomi global, syarikat kini berhadapan dengan potensi risiko dan bahaya yang kian meningkat dan pelbagai, dan itu memerlukan satu perancangan dan strategi pengurusan risiko yang mereka laksanakan perlu merangkumi langkah-langkah untuk mengawal.

Ini kerana syarikat yang berjaya menyerapkan pengurusan risiko dalam operasi asas syarikat adalah lebih berkemungkinan untuk mencapai objektif walaupun di saat mereka sedang berhadapan halangan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Assets Sdn Bhd dalam ucapan alu-aluannya menerangkan bahawa objektif forum tersebut adalah untuk memupuk perkongsian pengetahuan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan dunia perniagaan.

Ujarnya, topik pada tahun ini memberi tumpuan kepada kepentingan pengurusan risiko dalam pelaksanaan Pengawalseliaan Korporat yang antara lain dapat memastikan perlindungan prestasi kewangan dan menjamin akauntabiliti pihak pengurusan dan lembaga pengarah kepada syarikat dan para pemegang saham.

Beliau berkata dengan mempelbagaikan pengurusan risiko, sesebuah organisasi akan dapat menganalisis risiko berkenaan dan membuat keputusan dengan hasrat untuk mencapai objektif utama syarikat.

Darussalam Assets Sdn Bhd juga telah mengundang tiga orang penceramah ke forum itu, iaitu Pengarah Urusan Serantau Deloitte & Touche Enterprise Risk Services Pte Ltd, Dr. Janson Yap, Wee Hock Kee dari CG Board Asia Pacific dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusaka Ventures Sden Bhd, Dato Shabaruddin bin Ibrahim.

Darussalam Assets Sdn Bhd ditubuhkan pada 12 Disember 2012 untuk memegang dan mengurus syarikat-syarikat berkaitan kerajaan secara komersial dan terlibat dalam mengurus pelbagai jenis syarikat daripada industri berlainan seperti telekomunikasi, perbankan, logistik dan lain-lain.

ARTIKEL YANG SAMA