Fokus terhadap pelanggan

Fokus terhadap pelanggan

Oleh Pg Fairol RMF

 

pg01_160318_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Dalam usaha menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei antara yang terbaik di dunia, Jabatan Penerbangan Awam telah mengambil pendekatan strategi menumpukan kepada pelanggan (customer focus strategy) bagi memudahkan segala urusannya.

Untuk itu, jabatan tersebut melalui garis panduan ditetapkan Skytrax Airport Award, menetapkan beberapa kriteria untuk merancang kemudahan dan pengubahsuaian lapangan terbang termasuklah kedai-kedai yang terdapat di dalamnya, medan selera, transit hotel, pusat niaga dan siber, kemudahan tempat rehat, rekreasi seperti ruang tontonan televisyen dan sebagainya.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat menekankan perkara itu ketika menjawab soalan Yang Berhormat Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman mengenai kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang tidak mencukupi seperti tempat duduk, bilik mandi dan bilik khas untuk merokok menyebabkan tandas-tandas dijadikan tempat merokok.

Menurut Yang Berhormat Menteri Perhubungan, semua perancangan dan pengubahsuaian lapangan terbang itu akan diselenggarakan di bawah sistem Public Private Partnership (PPP) selaras dengan dasar pro-perniagaan kerajaan. Begitu juga pengendalian kemudahan pengangkutan awam seperti teksi dan bas yang menghubungkan lapangan terbang dengan pusat bandar dan kawasan-kawasan menarik di negara ini juga sedang diusahakan.

Selain itu, penyelia-penyelia kedai, medan makan dan perkhidmatan lain seperti telefon bimbit dan kewangan juga telah dilantik melalui proses sebut harga (tender) dan akan memulakan kerja dalam sedikit masa lagi. Sementara itu, ‘expression of interest’ seperti mengendalikan transit hotel dan perkhidmatan berkenaan akan dikeluarkan secepat mungkin juga dengan penggunaan kaedah PPP setelah kajian dibuat.

Mengenai tempat merokok yang lebih sesuai, Menteri Perhubungan telah mengenal pasti tempat yang bersesuaian, namun dengan undang-undang dan peraturan negara di bawah Akta Tembakau yang mengawal kegiatan merokok di dalam bangunan-bangunan awam, maka ia akan dibincangkan lebih lanjut dengan pihak kementerian berkenaan dan mengambil kira keperluan penumpang yang membuat transit di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA