Fokus terhadap pengekalan wawasan KKBS

Fokus terhadap pengekalan wawasan KKBS

Oleh Syahmi Hassan & Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Bagi Tahun Kewangan 2016/2017, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah dicadangkan peruntukan sebanyak $85,131,230 bagi gaji, perbelanjaan berulang-ulang dan perbelanjaan khas.

“Gaji kakitangan dan perbelanjaan berulang-ulang melebihi had yang ditetapkan, masing-masing 2.7% dan 0.2%, manakala perbelanjaan khas berkurangan sebanyak 74.6%.

“Keseluruhannya, ketiga-tiga tajuk berkurangan sebanyak 14.9% daripada peruntukan Tahun Kewangan 2015/2016. KKBS bersyukur kerana rata-rata akaun peruntukan Tahun Kewangan 2015/2016 dikekalkan yang membolehkan program-program rutin berjalan seperti biasa.”

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menjelaskan peruntukan tersebut dalam mukadimahnya mengenai Peruntukan bagi KKBS semasa persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang pada hari yang kesembilan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, KKBS melihat pengurangan peruntukan ini secara positif dan merasakannya bukan sebagai penghalang bagi KKBS untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna.

pg05_160317_a

pg01_160317_MMN_Logo

Penglibatan belia dalam aktiviti berfaedah adalah salah satu cara bagi meningkatkan produktiviti rakyat.
Penglibatan belia dalam aktiviti berfaedah adalah salah satu cara bagi meningkatkan produktiviti rakyat.

Malah, ia dijadikan sebagai cabaran untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan cara yang lebih berkesan dan berhemah melalui kaedah yang lebih kos-efektif dan munasabah.

“Peruntukan ini akan digunakan sebaik-baiknya dengan berbelanja secara terancang dan mengikut keutamaan di mana KKBS memberi fokus dan keutamaan kepada mengekalkan usaha bagi mendokong wawasan kementerian iaitu ‘Bangsa Brunei Yang Cemerlang’ dengan menerapkan dan mengekalkan identiti bangsa Melayu yang beragama, bersopan santun, pemedulian, penyayang, semangat taat setia pada raja dan cintakan negara, dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, berasaskan kepada falsafah negara Melayu Islam Beraja.

Selain itu, KKBS juga menumpukan perhatian kepada program-program teras kementerian iaitu Sambutan Hari Kebangsaan; Program Khidmat Bakti Negara (PKBN); Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan; Program Memperkasa Komuniti; Latihan Kemahiran di Pusat Pembangunan Belia; Program Belia Berdikari; dan Sambutan Hari Belia Kebangsaan.

Tumpuan KKBS yang lain adalah meningkatkan lagi produktiviti rakyat dan penduduk negara ini melalui promosi aktiviti-aktiviti sukan dan riadah di samping membina kapasiti terutama golongan belia melalui program-program seperti PKBN dan latihan kemahiran di Pusat Pembangunan Belia.

Selain itu, tambah beliau, kementeriannya juga memberi tumpuan kepada usaha-usaha membasmi kemiskinan di negara ini, melalui pelaksanaan Program Perkasa Komuniti yang telah diperkenalkan sejak tahun 2013.

KKBS juga akan membuka muzium-muzium daerah dalam rangka memelihara dan mempromosi warisan budaya dan menambah mukim-mukim buku untuk meneruskan matlamat menambah prasarana membaca di mukim-mukim.

Dalam bidang kesukanan pula, Yang Berhormat Pehin berkata, KKBS akan meneruskan agenda sukan negara, pensejahteraan prasarana dan kemudahan-kemudahan sukan, membudayakan sukan sebagai cara hidup sihat ke arah generasi yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri dan melahirkan kumpulan atlet sukan negara yang boleh bersaing dan mencipta nama, menaiki podium dan menaikkan bendera dan lagu kebangsaan negara di arena sukan serantau dan antarabangsa termasuk atlit kurang upaya.

Pemeliharaan aset kemudahan sukan dicadangkan peruntukan hampir $4 juta di samping akaun sukan berjumlah $208,000.

Dalam bidang kemasyarakatan dan kesejahteraan, KKBS melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menyediakan satu sistem jaringan sosial (social safety net) yang meluas di negara ini untuk menjaga kesejahteraan golongan masyarakat yang tertentu, terutama sekali yang lemah dan dalam kesusahan.

Pada tempoh 1 April 2015 hingga 29 Februari 2016 yang lalu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak $103,799,990 dari segi bantuan dan pencen, bantuan kebajikan bulanan, pencen umur tua, pencen-pencen hilang upaya dan lain-lain. Jumlah ini semakin meningkat setiap tahun atas berbagai-bagai sebab, termasuk bertambah penduduk yang menghadapi kesusahan kewangan dan jua meningkatnya kumpulan warga emas.

“Pada bulan Februari 2016, jumlah penerima pencen-pencen adalah seramai 31,730 orang manakala jumlah penerima bantuan kebajikan bulanan (BKB) adalah seramai 6,442 ketua keluarga.

“Walaupun dengan keadaan ekonomi yang mencabar masa kini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui KKBS akan tetap memainkan tanggungjawabnya kepada rakyat dan penduduk negara ini demi untuk memastikan kesejahteraan mereka terpelihara,” tekan beliau.

Dua isu yang juga akan diberi keutamaan oleh KKBS pada tahun ini adalah dalam menangani isu kanak-kanak, di mana kesejahteraan kumpulan ini adalah sangat perlu dijaga.

Dalam hal ini, ujar Yang Berhormat Pehin, Majlis Kebangsaan Isu-Isu Sosial (MKIS), baru-baru ini, telah meluluskan supaya isu kanak-kanak ditangani secara khusus.

Penekanan ini bukan saja akan memudahkan lagi penyejajaran program-program yang khusus bagi kepentingan dan hak kanak-kanak, malah ia adalah selaras dengan komitmen negara di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Selain itu, tambah beliau, kementeriannya akan meneliti semula akan keperluan penyediaan perundangan khusus bagi menjaga kesejahteraan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pihak kementerian juga akan meningkatkan kerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan seperti agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan NGO, pihak swasta, persatuan-persatuan sukarelawan dan sebagainya untuk lebih memeduli kesejahteraan OKU.

Manakala itu, dalam bidang kebudayaan, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa kementeriannya akan menubuhkan Akademi Budaya dan Seni pada masa yang bersesuaian.

Jelas beliau, akademi itu nanti akan menjadi tempat belajar kebudayaan dan kesenian orang-orang Brunei yang akan melahirkan tenaga kreatif yang diperlukan dalam industri kreatif dan kebudayaan.

Inisiatif ini, katanya, dijangka memberi kesan limpahan kepada bidang kebudayaan dan kesenian dalam menjana ekonomi.

ARTIKEL YANG SAMA