Fokus, yakin dan semangat juang

Fokus, yakin dan semangat juang

Oleh Salawati Haji Yahya & Sim. Y.H.

Gambar oleh Sim. Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Penyertaan negara ke Sukan SUKMA yang bermula pada tahun 1996 merupakan satu platform bagi belia yang berumur 21 tahun ke bawah bukan hanya untuk mencungkil bakat dan pendedahan tapi untuk mencapai kecemerlangan berdasarkan umur.

Disamping itu, penyertaan ke kejohanan tersebut dapat terus memupuk hubungan kerjasama dan mengeratkan tali silaturahim belia dengan belia negara jiran iaitu Malaysia.

Perkara ini disuarakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof pada Majlis Penyerahan Bendera negara kepada Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed selaku Chef De Mission Kontinjen Negara ke Sukan SUKMA XVIII, Sarawak 2016 yang berlangsung di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Beliau dalam ucapannya menekankan kepada atlet supaya menjaga disiplin dan kondisi masing-masing sebelum dan semasa kejohanan khusus dari aspek permakanan dan waktu rehat.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII.
Yang Berhormat Pehin ketika menyerahkan bendera negara kepada Awang Zafri.
Yang Berhormat Pehin ketika menyerahkan bendera negara kepada Awang Zafri.

Selain itu, atlet juga perlu fokus dan mempunyai ‘mindset’ yang betul, baik dan positif disamping mempunyai semangat juang dan keyakinan tinggi untuk meraih kemenangan dan memungut sebarang pingat dan berbangga menaiki dan berdiri di atas ‘podium’.

Sementara jurulatih dan pegawai sukan kontinjen juga diseru untuk memberi sokongan dan komitmen tinggi dalam memberikan khidmat masing-masing ke arah mencapai objektif negara iaitu memecahkan rekod pencapaian negara di SUKMA yang lepas dan seterusnya memecahkan rekod peribadi sukan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada atlet negara untuk mengelakkan diri dari mencuba atau menggunakan bahan atau ubat-ubatan yang tidak dikenal pasti selain sentiasa mematuhi dengan apa jua arahan yang diberikan oleh Chef De Mission, pengurus dan jurulatih masing-masing.

Di samping mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pegawai kontinjen bagi mengelakkan dari perkara yang tidak diingini berlaku, atlet jugta diingatkan tujuan asal mereka dipilih ke sukan ini adalah untuk mencapai kejayaan dan akan dapat mengharumkan nama negara serta mencipta satu sejarah dalam perkembangan sukan negara.

“Dengan berbekalkan semangat jitu, keyakinan dan diiringi doa, atlet kebangsaan selaku wira dan srikandi negara pasti akan berjaya meraih kecemerlangan dan dapat mengharumkan negara,” jelasnya.

Seramai 52 kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam sembilan daripada 24 acara sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia XVIII (SUKMA), Sarawak yang berlangsung bermula pada 22 hingga 31 Julai ini.

Sementara itu menurut Haji Zafri, persediaan atlet dalam sukan ini dibuat secara berterusan sejak tahun 2015 lagi, disamping latihan intensif dalam negeri yang bermula pada awal tahun ini termasuk semasa bulan Ramadan.

“Ini adalah untuk memastikan atlet memperoleh mutu pencapaian dan prestasi memuaskan, manakala Sukan Takewando juga mengadakan latihan intensif dan ujicuba di Korea selama sebulan,” tambahnya.

Dengan adanya persiapan raptai ini, jelasnya lagi pada atlet akan dapat memberikan cabaran kepada atlet yang lain pada penyertaan SUKMA 2016 ini.

Selain itu, beliau juga berharap para atlet yang berjaya dipilih dan jurulatih dapat bekerjasama dengan pengurusan kontinjen dan penganjur sukan ini dengan mematuhi peraturan perlawanan dan undang-undang sukan ke arah kelancaran penyertaan atlet dan menjaga nama negara.

Kontinjen negara yang dijangka akan berlepas pada 16 dan 20 Julai itu dianggotai oleh seorang Chef De Mission, 32 atlet, sembilan jurulatih, dua pegawai urusetia, dua pegawai perhubungan, tiga orang pengurus dan tiga ahli fisioterapi.

Atlet negara akan mengambil bahagian dalam acara sukan akuatik (renang), berbasikal, olahraga, pencak silat, karate, golf, Ten Pin Bowling, Taekwando dan Wushu.

Penyertaan negara dalam kejohanan tahun ini merupakan kali ke-10 sejak menyertainya kali pertama pada tahun 1996 di Pahang, Malaysia, di mana pada SUKMA XVIII 2014 di Perlis, kontinjen negara hanya mampu meraih satu pingat emas oleh atlet Karatedo Kumite +48Kg lelaki, Awang Mohd Izzudin Irfan bin Mohd Faizal.

ARTIKEL YANG SAMA