foodpanda perkenal penghantaran kopi segar

foodpanda perkenal penghantaran kopi segar

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Perkhidmatan penghantaran makanan online foodpanda telah bekerjasama dengan It’s A Grind Coffee House Citi Square untuk membawa kopi yang terbaik ke rumah para pelanggan.

Peminat It’s A Grind Coffee House kini boleh memesan minuman dan sandwic kegemaran mereka dengan melayari melalui pemilihan barangan It’s A Grind Coffee House Citis Square dalam laman web foodpanda Brunei atau melalui aplikasinya.

Sementara itu, bagi peminat kopi bolehlah menikmati kopi segar francais Amerika yang berpangkalan di Brunei yang akan bermula dari 1 Oktober 2016.

Kontrak kerjasama penghantaran telah ditandatangani oleh Pengurus Operasi It’s A Grind Coffee House Citis Square, Raghuveer Sing, dan juga Pengurus Jualan dan Pemasaran foodpanda Brunei, Nabil Ibrahim.

“Kerjasama ini adalah sangat unik dan merupakan yang pertama seumpamanya di Brunei. Pelanggan boleh menikmati minuman panas, berais atau ais campur (iced blended) dalam suhu yang terbaik dan berkualiti sebagai tambahan kepada perlindungan daripada pencemaran luar. Mereka boleh menyewa kelalang (flask) daripada It’s A Grind Coffee House Citis Square untuk minuman mereka apabila disampaikan kepada mereka”, jelas Nabil Ibrahim berkata semasa sidang akhbar yang diadakan di It’s A Grind Coffee House Citis Square.

Sesi bergambar ramai antara pihak pengurusan foodpanda Brunei dengan pihak pengurusan It’s A Grind Coffee House Citis Square.
Sesi bergambar ramai antara pihak pengurusan foodpanda Brunei dengan pihak pengurusan It’s A Grind Coffee House Citis Square.

Raghuveer Sing menambah bahawa apabila pesanan diserahkan kepada pelanggan, minuman akan terus dipindahkan atau dicurahkan dari kelalang ke dalam cawan kosong yang disediakan oleh It’s A Grind Coffee House Citis Square mengikut saiz cawan yang dipesan.

Sidang akhbar berkenaan juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Panda Weekend, Alison Wee Chiew Hsia, yang telah memenangi penginapan satu malam bagi dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak di Suite Junior di StarLodge Hotel dan juga tiket ke Jerudong Park. Hadiah telah disampaikan oleh Pengurus Operasi Vendor di foodpanda Brunei, Abdul Qawiem Har.

foodpanda Brunei kini telah bekerjasama dengan lebih daripada 79 restoran dan sentiasa memperbaiki perkhidmatan penghantaran mereka untuk memberikan perkhidmatan penghantaran makanan secara online yang paling cekap dan mudah di negara ini.

It’s A Grind Coffee House Citis Square juga sempat menghidangkan pelbagai jenis sandwich seperti Eurasia, Kamikaze, Ristretto Sirloin Beef, Madame Citis dan pelbagai lagi di majlis berkenaan.

Perkhidmatan penghantaran makanan secara online foodpanda Brunei boleh didapati bermula jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari. Bagi maklumat terkini mengenai sebarang tawaran hebat, orang ramai boleh menghubungi perkhidmatan pelanggan melalui Live Chat di laman sesawang dan melalui aplikasi atau hubungi 2233909 pada waktu pejabat bagi sebarang pertanyaan.

ARTIKEL YANG SAMA