Ford bakal uji kereta pandu sendiri

Ford bakal uji kereta pandu sendiri

SAN FRANCISCO, 16 Dis (AFP) – Ford kelmarin mengatakan bahawa ia sudah diberi kebenaran untuk menguji kereta pandu sendiri di California, dan akan menggunakannya di jalan raya yang paling ramai penduduknya di Amerika Syarikat tahun depan.

Pembuat kereta itu secara rasminya mendaftar dalam Program Pengujian Kenderaan Autonomi California dan akan bermula dengan sedan Ford Fusion Hybrid yang memandu sendiri, katanya dalam satu kenyataan. Ford mengatakan mempunyai lebih 100 penyelidik, jurutera dan ahli saintis yang bekerja dalam pusat penyelidikannya di bandar Palo Alto, Silicon Valley.

Para penyelidik Ford, yang juga bekerjasama dengan universiti-universiti, mengkhusus dalam teknologi yang membantu kereta ‘melihat’ atau merasa apa yang ada di sekitar mereka dan dapat menavigasi dengan selamat.

“Pasukan kami Palo Alto telah berkembang dengan pesat tahun ini, menggunakan penyelidikan dan inovasi untuk menjelajah dan membangunkan penyelesaian mobiliti masa depan,” kata ketua eksekutif Ford, Mark Fields. Ford mengumumkan awal tahun ini yang ia sudah mendekati fasa pengeluaran bagi kenderaan pertamanya yang memandu sendiri, tanpa menetapkan tarikh tertentu.

Semasa Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas pada Januari, Fields meramalkan kereta sepenuhnya autonomi akan berada di jalan-jalan AS menjelang 2020, namun enggan untuk mengatakan sama ada syarikatnya akan menjadi kalangan yang pertama untuk memasarkannya.

ARTIKEL YANG SAMA