Ford lanjut perjanjian dengan Ken Block

Ford lanjut perjanjian dengan Ken Block

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Pemandu rali profesional, bintang Gymkhana dan legenda ‘Hoonigan’, Ken Block (gambar) telah melanjutkan perkongsiannya dengan Ford Performance untuk memburu Kejohanan Rali Dunia FIA 2016.

Mengumumkan perkongsian ini, Premier Automobile Sdn Bhd (PASB) selaku pengedar kenderaan Ford di negara ini, dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, Block menyerlah sebagai salah seorang pesaing teratas dalam Rali Global dengan kekurangan lima mata untuk memenangi kejohanan 2014.

Pada 2015, menurut kenyataan itu lagi, Block mencatat tiga kemenangan acara, mendahului kejohanan bagi 10 daripada 12 pusingan dan merupakan penyumbang mata tertinggi dalam membantu Ford memenangi Kejohanan Pengilang Rali Global ke-5.

Sementara itu, pada 2014, Block bersaing dalam pusingan Rali Dunia pertamanya di Norway, di mana dia menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan pertamanya.

Dia kemudian membuat kemunculan dalam pusingan Perancis 2014, dengan menduduki tempat keempat keseluruhan dan mencatatkan pusingan terpantas bagi acara berkenaan.

pg09_160127_b

Menurut kenyataan itu lagi, dengan lanjutan perkongsian bersama Ford Performance serta sokongan kilang mereka, matlamat pasukan adalah untuk memburu gelaran dunia.

Pengarah Global Ford Performance, Dave Pericak dipetik sebagai berkata, “Ken lebih daripada seorang pemandu dan rakan bagi kami, dia adalah anggota pasukan Ford Performance.

Dia terus menjadi penyokong bagi peminat di seluruh dunia dan kami kerap melibatkannya dalam perbincangan produk dan sukan permotoran.”

“Kami tahu, pasukan Ken adalah yang tepat untuk membantu kami mengejar matlamat memenangi gelaran Kejohanan Rali Dunia FIA dan menceritakan kisah Ford Performance. Ford dan Ford Performance adalah jenama global, seperti Ken, jadi ia adalah gabungan yang bagus bagi semua yang terlibat,” tambahnya.

Block dan Ford Performance akan memulakan mengejar Kejohanan Dunia apabila kalender perlumbaan 2016 WorldRX bermula di Portugal pada 16 dan 17 April.