Forest City dapat status bebas cukai

Forest City dapat status bebas cukai

SINGAPURA, 14 Mac (Bernama) – Forest City, pembangunan mega di empat buah pulau buatan di Iskandar Malaysia telah diberikan status kawasan bebas cukai pada 6 Mac 2016.

Ini adalah pulau buatan manusia pertama diberikan status berkenaan di Malaysia berbanding pulau semula jadi seperti Labuan, Langkawi dan Tioman.

Oleh itu, apakah yang akan dinikmati penduduk tempatan dan pelawat ke kawasan bebas cukai baharu ini, yang digelar pembangunan hijau penggunaan bercampur terbesar di Asia Tenggara?

Perkara yang perlu diperhatikan ialah, objektif utama sebarang kawasan bebas cukai adalah untuk menggalakkan perdagangan dan pelancongan di Malaysia.

Labuan, Langkawi dan Tioman telah diisytiharkan pulau bebas cukai masing-masing pada 1 September 1956, 1 Januari 1987 dan 1 September 2002.

Ketiga-tiga pulau bebas cukai itu diletakkan di bawah Akta Kastam, bagaimanapun Forest City belum lagi diketahui di bawah akta mana ia akan ditadbir.

Semakan di laman web Jabatan Kastam menunjukkan semua barangan di pulau bebas cukai selalunya dikecualikan cukai kecuali petroleum dan produk berasaskan petroleum. Bagaimanapun, semua jenis pengangkutan bermotor boleh dikenakan cukai di Tioman.

Di Langkawi, simen, marmar, getah dan ikan bilis yang dibawa ke pulau itu dari luar Malaysia akan dikenakan cukai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Country Garden Holdings Co Ltd, Mo Bin, pusat beli-belah bebas cukai pertama di Dermaga Nelayan di Pulau 1 Forest City, akan siap menjelang hujung tahun ini.

Pemaju berkata, pusat beli-belah itu akan menawarkan pelbagai jenama dan produk antarabangsa terkemuka.

Dengan itu, adakah status bebas cukai hanya untuk barangan dan produk yang dijual di pusat beli-belah Forest City?

Bakal pembeli kini bercakap mengenai rancangan untuk membeli kondominium dan kediaman di bangunan tinggi di tepi pantai yang ditawarkan pulau berkenaan.

Setakat ini untuk menikmati pengecualian cukai di ketiga-tiga pulau berkenaan, pelawat tempatan dan asing perlu tinggal untuk beberapa jam tertentu.

Adakah Forest City menawarkan ‘had masa’ seperti itu juga untuk menikmati pengecualian cukai?

Di Labuan mereka perlu berada di pulau itu tidak kurang daripada 24 jam, manakala Langkawi dan Tioman tidak kurang daripada 48 jam.

Cukai sebanyak 30 peratus akan dikenakan jika anda membeli barangan melebihi had ditetapkan.

Tetapi untuk bir atau minuman keras, rokok atau tembakau, tayar dan tiub, cukai dikenakan berdasarkan kadar tertentu.

Ketika mengumumkannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, status itu akan merangsang aktiviti perniagaan dan pelancongan keempat-empat pulau terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA