Format baru tak jejas rentak

Format baru tak jejas rentak

SAN FRANCISCO, 1 Mei (AFP) – Walaupun bermain dengan format baru, objektif pemain di Kejohanan Match Play Dunia langsung tidak berubah. Begitu juga dengan emosi mereka.

Juara Masters, Jordan Spieth masih lagi berbisa menerusi permainan jarak dekatnya apabila membenam tujuh birdie sepanjang 16 lubang dan dilihat tidak bermasalah mengatasi Mikko Ilonen manakala Rory McIlroy yang juga pilihan utama, membenam satu birdie untuk menewaskan Jason Dufner.

“Dalam match play, anda hanya perlu menewaskan lawan dan itulah yang saya lakukan hari ini,” kata McIlroy.

“Saya mahu menumpukan perhatian kepada aksi esok pula.”

Format baru yang diperkenalkan menyaksikan semua pemain dibenarkan mengharungi perlawanan kedua walaupun tewas pada aksi pertama. Format lama memaksa pemain yang tewas hari pertama, menamatkan saingan setakat itu saja.

Pemain bersedia di green sebaik sahaja matahari terbit untuk memulakan pusingan kedua Kejohanan Match Play Dunia di Newburgh, Indiana pagi tadi. – AFP
Pemain bersedia di green sebaik sahaja matahari terbit untuk memulakan pusingan kedua Kejohanan Match Play Dunia di Newburgh, Indiana pagi tadi. – AFP

Tidak seperti tahun lalu, Spieth dan McIlroy belum boleh merayakan kemenangan dan keseronokan hanya bermula apabila melihat pemain lain terpaksa meninggalkan lapangan. Format liga menggantikan penyingkiran tunggal. Tiada sesiapa benar-benar layak ke pusingan kedua hinggalah pusingan ketiga tamat hari ini. Pada hari pertama semalam, beberapa nama besar terpaksa akur dengan kehebatan lawan masing-masing.

Juara bertahan, Jason Day bergelut di kotak tee dan tewas di tangan Charley Hoffman. Justin Rose tewas kepada Mark Leishman. Henrik Stenson dan Jimmy Walker tewas di lubang tambahan manakala Matt Kuchar kalah apabila Ben Martin membenam pukulan selubang di lubang ke-17.

Walaupun tidak perlu pulang selepas tewas pusingan pertama, terdapat banyak perkara yang sudah dapat dijangka daripada pemain.

Ian Poulter enggan bercakap selepas hanya mencatat satu birdie dan tewas di tangan Webb Simpson. Begitu juga dengan Walker yang terpaksa bermain di lubang tambahan bersama Gary Woodland.

Adam Scott pula meninggalkan padang dalam keadaan tergesa-gesa selepas dikalahkan Francesco Molinari.

ARTIKEL YANG SAMA