Forum CIO ASEAN ke-4 buka tirai

Forum CIO ASEAN ke-4 buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Forum Ketua Pegawai Maklumat (CIO) ASEAN ke-4 bertema ‘Global Competitiveness – Optimising Tecnological Advances in Brunei Darussalam’ membuka tirainya, hari ini, di Dewan Songket Ballroom, Hotel Rizqun Antarabangsa, di sini.

Pelancaran forum dua hari berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar.

Dianjurkan oleh Pusat Kebangsaan e-Kerajaan (EGNC) dan Persatuan Ketua Pegawai Maklumat ASEAN (ACIOA), forum ini julung-julung kalinya diadakan di Brunei dan dihadiri oleh 14 perwakilan negara anggota ASEAN dan 250 peserta dari ASEAN, ketua pegawai maklumat sektor kerajaan dan swasta, ketua-ketua pegawai teknikal, para pengurus projek dan usahawan dalam bidang IT.

Timbalan Setiausaha Tetap (IT & e-Kerajaan) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli, selaku pengerusi majlis dalam ucapannya berkata forum tahun ini akan terus menjadi platform utama untuk berkongsi pengalaman dan cabaran-cabaran, serta untuk mewujudkan wawasan mengenai bagaimana teknologi terkini boleh digunakan bagi masa depan.

Antaranya adalah Internet of Things (IOT), yang menurut beliau, kini telah menjadi sempadan baru bagi potensi penambahbaikan eksponen.

Yang Berhormat Pehin ketika menyaksikan salah satu pameran.
Yang Berhormat Pehin ketika menyaksikan salah satu pameran.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin bersama para tetamu yang lain bergambar ramai di Forum CIO ASEAN, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin bersama para tetamu yang lain bergambar ramai di Forum CIO ASEAN, kelmarin.

“Satu ramalan terkini oleh Gartner, terdapat 4.9 bilion ‘benda-benda’ berhubung digunakan pada 2015, dan akan mencecah 25 bilion menjelang 2020,” ujarnya.

Beliau menyatakan, IOT membantu meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan persekitaran operasi terutamanya dalam mereka bentuk dan membangunkan Bandar Pintar.

Forum ini merupakan acara tahunan yang diadakan untuk menggalakkan kerjasama inovatif antara kerajaan, perniagaan, institusi dan orang ramai.

Objektifnya adalah untuk mempromosikan perkongsian amalan-amalan terbaik dengan mengadakan forum interaktif bagi ketua-ketua pegawai maklumat dari ASEAN dan luar rantau.

Sesi plenari tahun ini mengetengahkan topik-topik termasuk Perkhidmatan Cloud, IOT dan Bandar Pintar, serta Crowdsourcing dan Media Sosial.

ARTIKEL YANG SAMA