Forum Hijrah UNISSA

Forum Hijrah UNISSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Sempena Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1437, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar, hari ini, telah mengadakan Forum Hijrah yang berlangsung di Dewan Jubli UNISSA.

Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan Penyampaian Hadiah Insentif kepada Mahasiswa dan Mahasiswi yang telah mengharumkan nama UNISSA dalam pertandingan-pertandingan peringkat kebangsaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah intensif ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Turut hadir ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohd Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor UNISSA, Dr. Arman bin Haji Asmad, pegawai-pegawai utama, para dekan dan timbalan-timbalan dekan, pengarah, pegawai dan kakitangan, para pensyarah serta mahasiswa-mahasiswi UNISSA.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, forum berkenaan menampilkan dua orang ahli panel iaitu Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohiddin, dan Dekan Fakulti Usuluddin, Dr. Hajah Sarinah binti Yahya, manakala itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dayang Siti Nurasmah binti Haji Damit selaku moderator.

Dr. Haji Norarfan menyerahkan hadiah insentif kepada salah seorang mahasiswa yang telah mengharumkan nama UNISSA.
Dr. Haji Norarfan menyerahkan hadiah insentif kepada salah seorang mahasiswa yang telah mengharumkan nama UNISSA.
Dr. Hajah Sarinah ketika berucap semasa forum dijalankan.
Dr. Hajah Sarinah ketika berucap semasa forum dijalankan.

Dalam forum tersebut, Dr. Hajah Mas Nooraini menjelaskan bahawa para Muslimin kini juga mampu memperoleh darjat dan kedudukan hijrah yang sama dengan melakukan hijrah ma’nawiyyah.

“Walaupun hijrah ini berbeza daripada hijrah Rasulullah akan tetapi prinsipnya tetap memiliki persamaan.

Penghijrahan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam itu sendiri adalah awal dari tekad perubahan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, jika diteliti dan dihayati, konsep hijrah pada era globalisasi mengajak umat Islam untuk memanfaatkan pelbagai aspek kemajuan masa kini.

Beberapa aspek persiapan diri perlu dilakukan oleh umat Islam bagi mencapai kemajuan dan kejayaan iaitu kemantapan individu Islam yang beriman, kepentingan dan kelebihan ilmu pengetahuan serta kemajuan teknologi maklumat dan kecanggihan komunikasi, tambahnya.

Sementara itu, Dr. Hajah Sarinah pula menghuraikan mengenai Hijrah yang menurutnya, dalam hijrah ada ketenangan dan bantuan, dalam setiap langkah daripada setiap apa-apa hijrah pun Allah sentiasa bersama.

“Konsep hijrah itu perlu digandingkan dengan iman dan jihad,” tekan beliau, sambil menambah, Hijrah itu menuntut kepada pengorbanan dan dengan adanya iman dan jihad, maka pengorbanan itu dirasakan berbaloi.

Majlis ini bertujuan untuk menyemarakkan serta memeriahkan lagi Sambutan Awal Tahun Hijrah di samping menggalakkan warga UNISSA menghayati konsep Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dan mempraktikkannya dalam kehidupan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi motivasi dan penghargaan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang telah mengharumkan nama UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA