Forum kewangan Australia-Malaysia

Forum kewangan Australia-Malaysia

MELBOURNE, 24 Julai – Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengetuai satu delegasi ke Forum Perkhidmatan Kewangan Australia-Malaysia pertama selama tiga hari Ogos depan.

Delegasi itu akan mengandungi wakil daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, bank, syarikat pengurusan dana, penasihat undang-undang dan syariah untuk berkongsi pengalaman Malaysia sebagai pasaran kewangan Islam.

Forum mulai 16 Ogos itu akan dihoskan Majlis Perniagaan Australia-Malaysia (AMBC) di Victoria serta firma perkhidmatan perakaunan dan penasihat perniagaan terkemuka, Pitcher Partners.

Presiden AMBC, Joe Perri memberitahu Bernama, forum itu akan menampilkan penceramah industri, penyampai dan ahli panel dari Malaysia dan Australia. Hari terakhir akan menyaksikan delegasi seberang laut itu melawat beberapa pejabat pertubuhan perkhidmatan kewangan terkenal bagi meningkatkan hubungan rentas sempadan.

Perri juga memuji kerja yang dilakukan Dr Kerstin Steiner daripada Fakulti Perniagaan Universiti Monash dan Dr Jikon Lai dari Universiti Melbourne dalam menjayakan konsep forum berkenaan.

Pengarah Eksekutif Pitcher Partners, Michael Langhammer berkata, forum itu adalah peluang terbaik untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan di antara Melbourne dan Kuala Lumpur dalam perkhidmatan kewangan, terutama dalam sektor kewangan Islam.

Langhammer berkata, ia juga mempunyai potensi menjadi acara tahunan bagi menemukan pelbagai pemimpin industri. – Bernama