Forum mengenai pelaburan di Sabah Sabtu ini

Forum mengenai pelaburan di Sabah Sabtu ini

KOTA KINABALU, 7 Jun – Dalam usaha mempertingkatkan lagi ekonomi Sabah melalui pelaburan, satu forum bertajuk “The Borneo Investment Strategic Outlook Forum 2016” akan diadakan di Sutera Harbour Resort, di sini Sabtu ini.

Pengerusi penganjur, Datuk Seri Alex Siaw Swee Hin berkata forum itu yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai cara bagaimana membuat pelaburan yang betul di Sabah, dijangka disertai 600 hingga 800 peserta, termasuk dari Semenanjung, China, Hong Kong dan Taiwan.

“Objektif forum itu adalah untuk menyampaikan maklumat mengenai trend terkini dan penyelesaian baru dalam strategi pelaburan bagi meningkatkan peluang perdagangan di Sabah, selain mempamerkan potensi serta peluang pelaburan di negeri ini.

“Forum itu akan menampilkan beberapa penceramah profesional dan dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Noor,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kenyataan media beliau dibacakan Presiden Dewan Perusahaan Asia Pasifik, K K Tham yang juga penganjur bersama forum berkenaan.

Alex Siaw berkata, jawatankuasa penganjur forum itu terdiri daripada tiga syarikat terkemuka di Sabah, termasuk GE Properties Sdn Bhd dan syarikat Money Compass Magazine.

“Peserta forum itu adalah jemputan khas pihak penganjur, namun orang ramai juga boleh menyertai program itu dengan melakukan tempahan awal di talian 088-212360 atau 0123786359.

“Kami berharap pelabur atau peniaga khususnya di sekitar Kota Kinabalu dapat turut serta dalam forum yang julung kalinya diadakan ini,” tambah beliau. – Bernama