Forum ‘Menjunjung Kasih kepada Raja’

Forum ‘Menjunjung Kasih kepada Raja’

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 24 Julai – Sebagai rakyat dan penduduk negara ini, kita perlulah bersyukur dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah memberikan banyak kemudahan dan kesenangan kepada rakyat dan penduduk Baginda.

Oleh itu, forum bertajuk ‘Menjunjung Kasih kepada Raja’ telah pun diadakan pada Malam Pentas Perayaan bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 bagi Daerah Tutong, baru-baru ini.

Forum berkenaan telah dipengerusikan oleh bekas penerima Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru tahun 2015, iaitu Guru Besar Sekolah Ugama Keriam Tutong, Dayang Mazmewati binti Mazali.

Bagi membincangkan forum berkenaan, dua orang ahli panel telah dijemput iaitu Pegawai Ugama Kanan dari Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Zunainah binti Haji Gunong dan Pemangku Pengarah dan Ketua Unit Pendidikan Khas di Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Ghafor.

Semasa forum ‘Menjunjung Kasih kepada Raja’ yang diadakan di Malam Pentas Perayaan Daerah Tutong, baru-baru ini.
Semasa forum ‘Menjunjung Kasih kepada Raja’ yang diadakan di Malam Pentas Perayaan Daerah Tutong, baru-baru ini.

Dalam perbincangan tersebut, Hajah Zunainah menghuraikan mengenai hubungan kepimpinan beraja dalam perspektif Islam, dan seterusnya menerangkan bagaimana rakyat dan penduduk Brunei dapat menzahirkan rasa syukur atau menjunjung kasih kepada raja dalam skop atau pandangan dari kaca mata Islam.

Manakala itu, Haji Ali Yusri pula menerangkan bagaimana kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini dapat menunjukkan taat setia kepada raja, dan juga memberikan kupasan mengenai signifikan dan nikmat pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada masa sekarang.

Turut menghadiri forum berkenaan ialah Penguasa Kanan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Tutong, Awang Tahir bin Muktal.

Forum tersebut merupakan salah satu acara bercorak keagamaan bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun bagi Daerah Tutong.