Forum nuklear fokus manfaat dan masalah

Forum nuklear fokus manfaat dan masalah

MOSCOW, 1 Jun (Bernama) – Forum Antarabangsa mengenai Tenaga Nuklear TOMEXPO 2015 ke-7 bermula di sini hari ini, dengan tumpuan antara lain, kepada manfaat dan masalah yang dihadapi sektor tenaga nuklear serta kesannya ke atas pembangunan sosioekonomi.

ATOMEXPO 2015 yang berlangsung tiga hari di pusat pameran Gostiny Dvor di sini menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta dari 40 negara, termasuk pakar global terulung dalam industri nuklear, pertubuhan kerajaan dan awam, syarikat industri dari Rusia dan negara asing serta wakil media.

Forum itu dianjurkan Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia, dikenali sebagai Rosatom.

Acara itu menyaksikan perhimpunan pakar dan jurutera tenaga nuklear dunia yang menumpukan khusus kepada kemajuan tenaga nuklear dan penggunaan teknologi nuklear dengan cara aman.

Acara utama pada hari pertama forum adalah sidang pleno, selain perbincangan meja bulat, yang antaranya menyentuh tentang tajuk ‘Mekanisme dan Alat bagi Kerjasama Saintifik dan Pendidikan Antarabangsa ke arah Pembangunan Lestari’ dan ‘Teknologi Nuklear dan Pembiayaan Projek Asing Rosatom: Status Semasa dan Harapan’.

Program perniagaan forum itu akan memberi tumpuan kepada kerjasama antarabangsa oleh Rusia dengan Amerika Selatan, Asia Pasifik, Afrika serta negara Eropah Tengah dan Eropah Timur, dalam bidang kejuruteraan tenaga nuklear, selain perbincangan berkaitan tawaran Rusia bagi pembangunan program tenaga kebangsaan.

Beberapa perjanjian, memorandum dan kontrak dijangka dimeterai oleh kerajaan Rusia, Rosatom State Corporation dan rakan kongsi asing.

Selain itu, lebih 60 syarikat tenaga nuklear Rusia dan negara asing mengambil bahagian dalam program pameran forum itu, antarabangsa Rosatom State Corporation, China National Nuclear Corporation, Hitachi, Ltd (Jepun), Schneider Electric (Perancis) dan Nucleoelectrica Argentina S. A. (Argentina).

Tema bagi tahun ini ialah ‘Tenaga Nuklear Nadi Pembangunan Sosio-ekonomi’.