Forum Sains Belia bahas dua tajuk menarik

Forum Sains Belia bahas dua tajuk menarik

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 30 Ogos – Dua tajuk menarik iaitu ‘Perubahan Iklim’ dan ‘Kejuruteraan Genetik Anak-anak Damit Super’ telah dibahaskan oleh beberapa orang pelajar Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong dalam Forum Sains Belia (YSF) yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pelajar YSF PTE Tutong di Dewan Serba guna PTE Tutong, petang tadi.

Dalam sesi forum ‘Perubahan Iklim’, mereka mempersoalkan bagaimana perubahan cuaca itu boleh berlaku, sekali gus memberi pandangan mereka mengenai cara-cara menangani masalah perubahan iklim yang berlaku di Negara Brunei Darussalam.

Manakala itu, sesi forum kedua pula membahaskan mengenai isu-isu genetik anak damit yang berkaitan dengan kesihatan, intelektual, dan sifat-sifat seseorang itu.

Apa yang menariknya, dalam sesi ini, ahli-ahli panel juga membincangkan mengenai kepelbagaian genetik yang berkemampuan dan kurang mampu mempunyai kaitan dengan masalah sosial dan ekonomi mereka itu sendiri.

Tajuk sesi forum ‘Perubahan Iklim’ telah dibincangkan oleh Teo Zhi Perng yang merupakan bekas Presiden YSF, Awang Amirul Maidin, Dayang Wafaa Wajihah dan Dayang Maimunah binti Haji Abdul Rahman.

Forum Sains Belia (YSF) PTE Tutong dijalankan di Dewan Serba guna, PTE Tutong.
Forum Sains Belia (YSF) PTE Tutong dijalankan di Dewan Serba guna, PTE Tutong.

Sementara itu, sesi forum ‘Kejuruteraan Genetik Anak-anak Damit Super’ pula telah dibahaskan oleh Nisaa Haidi yang juga merupakan bekas Presiden YSF, Awang Faiz Zailani, Alex Brandon Wong dan Awang Faris Aliani.

Hadir selaku pengerusi forum itu ialah Pengasas YSF PTE Tutong, Onn Chee Sheng dan turut hadir menyaksikan forum tersebut ialah Timbalan Pengetua (Akademik) PTE Tutong, Dayang Rozieana binti Haji Zini.

Dayang Rozieana menjelaskan bahawa Forum Sains Belia yang diadakan ini merupakan sebagai platform kepada pelajar-pelajar untuk berani tampil di khalayak ramai selain menggalakkan para pelajar membuat penyelidikan dalam menyampaikan hujah-hujah dan idea yang bernas.

Di samping itu, forum ini diharap akan dapat mengembangkan idea-idea para pelajar dalam sains secara semula jadi selain dapat memfokuskan perhatian mereka dalam Peperiksaan A Level pada tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA