Fosil penyu berusia 25 juta tahun ditemui

Fosil penyu berusia 25 juta tahun ditemui

FRANKFURT, 15 Sept (dpa) – Ahli sains telah menggambarkan apa yang mereka katakan sebagai fosil penyu tertua di dunia, 25 juta tahun lebih tua daripada spesimen paling tua yang diketahui sebelum ini.

Ditemui di Colombia, haiwan reptilia itu hidup sekurang-kurangnya 120 juta tahun lalu, kata Institut Penyelidikan Senckenberg di Frankfurt, Jerman dalam satu siaran akhbar.

“Berdasarkan morfologi haiwan dan mendapan yang mereka temui, kami pasti kami sedang menghadapi fosil penyu paling tua,” kata Edwin Cadena, pakar penyu Colombia dan sarjana di Yayasan Alexander von Humboldt di institut tersebut.

Cadena sedang merujuk kepada rangka yang dipelihara sepenuhnya, empat tengkorak tambahan dan dua cangkerang yang dipelihara sebahagiannya yang telah diperiksa oleh beliau dan seorang rakan sekerja dari Amerika Syarikat.

Rangka fosil itu ditemui oleh ahli paleontologi amatur pada 2007 di dua tapak berhampiran komuniti Colombia Villa de Leyva.

Berukuran hampir dua meter panjang, rangka Zaman Batu Kapur itu menunjukkan kesemua ciri-ciri penyu moden, menurut kajian Cadena, yang disiarkan dalam jurnal saintifik AS PaleoBios.

Penyu adalah dari keturunan penyu air tawar yang wujud kira-kira 230 juta tahun lalu. Kajian itu menempatkan fosil dalam kumpulan penyu Chelonioidea. Penyu dalam kumpulan ini hidup dalam lautan tropika dan subtropika; di antara wakil haiwan itu hari ini adalah penyu sisik dan penyu hijau.