Fowler sah ke Olimpik

Fowler sah ke Olimpik

LOS ANGELES, 11 Julai – Pemain ranking ketujuh dunia, Rickie Fowler mengesahkan yang dia akan mewakili Amerika Syarikat selepas golf kembali dipertandingkan di Sukan Olimpik Rio sekali gus membawa ‘sinar’ baharu selepas beberapa pemain ternama menarik diri daripada temasya berkenaan.

Dua hari selepas pemain nombor dua dunia Dustin Johnson mengikut jejak langkah Jason Day, wakil Ireland Utara, Rory McIlroy, Adam Scott (Australia) dan Hideki Matsuyama (Jepun) turut menarik diri daripada menyertai temasya di Rio.

Mengesahkan penyertaan menerusi laman Twitter, Fowler berkata: “Tidak sabar untuk menyarung baju merah putih dan biru di Rio,” kata pemain Amerika Syarikat itu yang kini berada di Scotland sebagai persiapan menyertai Terbuka British di Troon, minggu ini.

Sebelum ini, juara dua kali Masters, Bubba Watson pernah berkata, yang dia akan menyertai kontinjen Amerika Syarikat manakala Patrick Reed mengesahkan penyertaan ketika beraksi di Terbuka Scotland.

Gambar fail yang diambil pada 30 Jun 2016 menunjukkan Fowler membuat pukulan pada lubang ke-18 pada pusingan pertama kejohanan golf Jemputan Bridgestone di Akron, Ohio. Fowler berkata di Twitter semalam bahawa dia akan pergi ke Sukan Olimpik. - AP
Gambar fail yang diambil pada 30 Jun 2016 menunjukkan Fowler membuat pukulan pada lubang ke-18 pada pusingan pertama kejohanan golf Jemputan Bridgestone di Akron, Ohio. Fowler berkata di Twitter semalam bahawa dia akan pergi ke Sukan Olimpik. – AP

Kini, hanya tinggal Jordan Spieth yang masih belum mengesahkan penyertaan tatkala tarikh akhir senarai pengesahan pemain golf Amerika Syarikat kepada Jawatankuasa Olimpik negara itu tamat hari ini.

Sukan golf yang kembali disenaraikan dalam Sukan Olimpik selepas 112 tahun hilang serinya apabila beberapa pemain ternama menarik diri akibat bimbang dengan virus Zika. – AFP