Foxes kejutkan Brugge

Foxes kejutkan Brugge

BRUGES, Belgium, 15 Sept – Bintang tengah, Riyad Mahrez meledak gol pada kedua-dua babak permainan ketika Leicester City mengharungi aksi sulung dalam saingan Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-0 ke atas kelab Belgium, Club Brugge.

Diundi sebagai pemain terbaik England musim lalu selepas membantu Leicester menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim lalu, bukan sesuatu yang pelik untuk melihat pemain sayap Algeria itu menjadi tonggak kemenangan pada aksi pembukaan Kumpulan G itu.

Begitupun, Marc Albrighton yang memberi gol pendahuluan buat pelawat seawal minit kelima di Jan Breydelstadion sebelum Mahrez membuka tirai jaringannya pada minit ke-29.

Dia kemudian menyempurnakan penalti pada minit ke-61 untuk mengesahkan kemenangan buat pengurus, Claudio Ranieri yang menghuni tangga teratas kumpulan selepas Porto dan FC Copenhagen seri 1-1 pada satu lagi perlawanan.

Lebih banyak tugasan getir menanti skuad The Foxes selepas ini, namun dengan kemenangan itu, prestasi mereka jauh lebih baik selepas tewas pada aksi pertama di peringkat Eropah kepada Red Star Belgrade pada pusingan pertama Piala UEFA 2000.

Mahrez (kanan) menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan, Luis Hernandez selepas menjaringan gol penalti semasa menentang Club Brugge di stadium Breydel kelmarin. – AP
Mahrez (kanan) menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan, Luis Hernandez selepas menjaringan gol penalti semasa menentang Club Brugge di stadium Breydel kelmarin. – AP

Pada aksi di sini, Ranieri memberikan penampilan sulung buat pemain dari Algeria dengan rekod kelab, Islam Slimani serta seorang lagi pemain baharu, Luis Hernandez namun Danny Simpson tidak tersenarai selepas dikatakan tidak cergas.

Status baru mereka nyata gagal menarik perhatian penduduk tempatan, dengan banyak kerusi kosong di Jan Breydelstadion, tetapi Foxes tidak kisah dengan mode di Belgium.

Mereka mungkin mempunyai permulaan buruk mempertahankan kejuaraan tetapi Brugge juga bergelut dengan kecergasan dan terdapat jurang besar dalam kelas kedua-dua pasukan.

Tuan rumah sepatutnya berada di depan dalam tiga minit, tetapi rembatan pemain sayap Colombia Jose Izquierdo tersasar selepas menerima hantaran Hans Vanaken dan Leicester memberikan mereka pengajaran dengan gol pembukaan dua minit kemudian.

Satu lontaran jauh Hernandez dari kanan menyebabkan huru-hara dalam kotak penalti, dengan penjaga gol Brugge Ludovic Butelle gagal menumbuk bola dan dikuis oleh Hans Vanaken kepada Albrighton untuk menggegar gawang kosong. – AFP