Francais runcit ASEAN bakal diwujudkan

Francais runcit ASEAN bakal diwujudkan

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) – Pembentukan cawangan Persekutuan Rantaian Runcit dan Francais ASEAN (ARFF) bagi seluruh ASEAN dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini seiring dengan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015.

Presiden ARFF Datuk Richard Koh berkata persekutuan itu kini mempunyai enam wakil di negara-negara ASEAN.

“Kami kini mempunyai wakil ARFF di Indonesia, Vietnam, Thailand, Kemboja, Laos dan Singapura, serta di China dan Korea Selatan.

“Saya percaya kita akan dapat melaksanakan perubahan dalam mewujudkan sempadan baru bagi perniagaan runcit dan francais,” katanya pada pelancaran awal Ekspo dan Simposium Francais ASEAN (AFES) 2015 di sini, hari ini.

ARFF ditubuhkan pada 2008 di sini untuk menggalakkan rantaian runcit dan francais, industri pelancongan dan membeli-belah dalam 10 negara ASEAN termasuk enam negara iaitu China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

“Pada masa ini, terdapat kira-kira 200 anggota di Malaysia dan hampir 90 peratus daripada anggota kami mengembangkan perniagaan di sekurang-kurangnya tiga negara di ASEAN, serta di China, India dan Asia Barat,” katanya.

Terdahulu, Koh berkata AFES 2015 akan berlangsung mulai 4 hingga 6 Sept ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), di sini.

Pengerusi Penganjur AFES 2015, Profesor Datuk Dr Jayles Yeoh berkata acara tahun ini akan memperkenalkan pameran hartanah, Ekspo Hartanah ASEAN 2015, yang dianjurkan bersama dengan Singapore Press Holdings.

“Kami telah menganjurkan acara bagi Malaysia untuk membawa rantau ini mencapai hasil yang besar dalam penjenamaan peruncitan dan francais ASEAN antara yang terbaik di dunia,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA