Freme Adventure Park dan Freme Rainforest Lodge diperkenalkan

Freme Adventure Park dan Freme Rainforest Lodge diperkenalkan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara, kemudahan pelancongan di destinasi menarik terutamanya di Temburong diubahsuai dan dinaiktarafkan.

Ia merupakan satu pelaburan bagi agensi pelancongan terkemuka di negara ini, Freme Travel Services yang mengubahsuai dua kemudahannya di daerah itu, Freme Adventure Park Temburong dan Rainforest Lodge.

Pengarah Urusan Freme Travel Services Sdn Bhd, Micheal L. P. Lee, menekankan bahawa pelaburan itu penting kerana pelancong ke daerah itu dijangka meningkat dengan ketara lagi apabila Jambatan Temburong siap dibina dalam masa tiga tahun lagi. Ini memudahkan akses kedua-dua kemudahan pelancongan itu.

Beliau menerangkan perkara itu kepada pengamal media, wakil-wakil hotel dan pihak berkepentingan ketika pengenalan Freme Adventure Park dan Freme Rainforest Lodge di Batang Duri, Temburong kelmarin.

Menurutnya, agensi itu juga dalam perancangan membina pejabat pelancongan di sana dan menubuhkan Galeri Warisan Kesenian dan Kebudayaan di Pekan Bangar.

Freme Adventure Park bakal menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.
Freme Adventure Park bakal menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.
Michael L. P. Lee ketika temu bual bersama media.
Michael L. P. Lee ketika temu bual bersama media.

“Kami mempunyai ibu pejabat di Kuala Belait, cawangan di Bandar Seri Begawan dan terdapat agensi pelancongan di Seria dan di Tutong, kami sudah bertapak selama 10 tahun meskipun ia merupakan pasaran pelancongan kecil. Ini kerana kami mahu berkhidmat kepada masyarakat di sana, sebagai membalas jasa mereka.

“Maka di Temburong, kami mahu melakukan yang sama. Kami mahu melatih kakitangan kami lebih awal agar apabila Jambatan Temburong sudah siap, dan ramai yang berkunjung ke sini, kami sudah pun bersiap sedia. Temburong juga akan berkembang, membuatkan ramai akan datang ke sini dan kami bukan sahaja akan menjual tiket, malahan pakej lawatan, pelancongan dan apa sahaja yang berkaitan pengembaraan,” katanya.

Sejak pembukaannya awal tahun ini, kedua-dua kemudahan Freme Travel itu sudah pun diubahsuai dan hasilnya menunjukkan peningkatan kedatangan pengunjung yang memberangsangkan.

Ia memberikan perkhidmatan dalam kursus pengembaraan termasuk Menara Pendakian ‘Gibbon’ setinggi 12 meter yang pertama seumpamanya di Brunei bagi aktiviti pembinaan pasukan (team building), pemerhatian burung dan lain-lain cabaran sukan lasak.

Antara aksi pengunjung semasa menaiki salah satu permainan yang terdapat di taman pengembaraan berkenan.
Antara aksi pengunjung semasa menaiki salah satu permainan yang terdapat di taman pengembaraan berkenan.

Selain itu, di Freme Adventure Park juga menyediakan jambatan gantung sepanjang 70 meter, zip line (flying fox) sepanjang 130 meter menyeberangi Sungai Temburong, pelantar kanopi setinggi 40 meter bagi pemerhatian burung dan pemandangan panorama hutan hujan tropika, menara yang lebih rendah untuk pemandangan dan tempat bersantai atas ‘cuppa’, denai perjalanan malam, kemudahan Rainforest Lodge yang baru dan dinaik taraf yang boleh menampung sehingga 40 orang dan 15 orang di khemah-khemah.

Pengerusi Eksekutif Freme Travel, Pengiran Dato Shariffuddin bin Pengiran Metali dalam pada itu, mengatakan, “Kemudahan yang disediakan adalah untuk aktiviti-aktiviti sihat, interaksi sesama peserta, menghiburkan pengunjung dan menggalakkan mereka berkongsi pengalaman berharga mereka bersama orang lain. Kursus pengembaraan pula merangsang ekonomi tempatan kerana ia menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan kita.”

Selain dikenalkan dengan kemudahan di kedua-dua tempat itu, pengamal media, wakil-wakil hotel dan pihak berkepentingan juga berpeluang membuat Manok Lulun yang merupakan masakan ayam dicampurkan pelbagai rempah dan herba serta membuat nasi pulut.

Mereka juga mengikuti aktiviti lasak seperti abseiling, flying fox, rock climbing dan berbagai lagi.

ARTIKEL YANG SAMA