Frontier papar konflik perdagangan abad ke-18

Frontier papar konflik perdagangan abad ke-18

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

MERUPAKAN sebuah siri televisyen yang berasal dari Kanada, Frontier merupakan sebuah drama yang menampilkan elemen sejarah berlatarkan abad ke-18 di mana bulu binatang merupakan produk perdagangan utama di Amerika Utara.

Ia merupakan siri drama pertama dikeluarkan oleh Discovery Channel dan ia juga berjaya menarik minat stesen Netflix untuk menyiarkan siri drama tersebut di luar Kanada. Frontier telah dihasilkan oleh Brad Peyton bersama dengan Rob Blackie dan Peter Blackie.

Hasil kerjaya Brad Peyton sebelum ini cukup dikenali melalui filem San Andreas pada tahun 2015 dan 2002’s Evelyn: The Cutest Evil Dead Girl pada tahun 2002.

Sementara Rob Blackie pula pernah mengarahkan beberapa buah drama seperti Republic of Doyle dan memenangi Anugerah Pilihan Penonton di Festival Filem Seram Chicago pada tahun 2005 melalui filem Death Squad.

Siri drama ini dibintangi oleh Evan Jonigkeir yang sebelum ini pernah membintangi filem X-Men: Days of Future Past, Jessica Matten yang sebelum ini pernah membintangi siri drama Blackstone dan Jason Momoa yang sebelum ini pernah membintangi siri drama Games of Thrones.

Siri drama Frontier lebih mengetengahkan mengenai kisah perdagangan di abad ke-18.
Siri drama Frontier lebih mengetengahkan mengenai kisah perdagangan di abad ke-18.

Frontier lebih banyak menumpukan kepada isu perdagangan bulu binatang yang cukup popular dan aktiviti perekonomian pada sekitar tahun 1700.

Aktiviti perdagangan jelas berlangsung dengan cukup maju pada era tersebut di mana bulu binatang berjaya mendapat permintaan yang cukup tinggi tidak kira di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Kemajuan aktiviti perdagangan di Amerika Utara itu telah mendorong pihak British turut aktif melabur bagi sama-sama meningkatkan keuntungan terhadap perniagaan tersebut.

Namun sebagaimana umumnya dalam kebanyakan sektor perdagangan lain, aktiviti yang giat dilaksanakan pada abad ke-18 ini juga tidak terlepas dengan cabaran terutama dalam menyeimbangkan sumber kekayaan di antara Amerika Utara dengan penduduk di Eropah.

Pelbagai faktor yang mendorong terhadap konflik tersebut seperti perbezaan kepercayaan dan budaya.

Lalu apakah penyelesaian yang telah diatur oleh masyarakat pada era tersebut dan untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Frontier sehingga ke penghujungnya.