Froome: Adios Vuelta

Froome: Adios Vuelta

MADRID, 4 Sept (AFP) – Pemenang Jelajah Perancis Chris Froome menjadi mangsa berprofil tinggi terkini Vuelta Sepanyol selepas menarik diri sebelum peringkat ke-12 bermula semalam, akibat patah tulang jari kakinya.

“Imbasan pagi ini mengesahkan tulang navikular patah. Berakhirnya Vuelta bagi saya,” posting Froome di Twitter.

Harapan Froome untuk menjadi pelumba ketiga untuk memenangi Jelajah Perancis dan Sepanyol pada tahun yang sama telah berakhir kelmarin setelah terjatuh dalam laluan pergunungan 138km yang menakutkan melalui Andorra dan tujuh minit di belakang pemimpin Fabio Aru.

Pemain berusia 30 tahun itu berharap untuk mengikuti jejak pelumba Perancis Jacques Anquetil (1963) dan Bernard Hinault (1978) dengan menguasai dua jelajah sebelum mengharungi peringkat paling sukar dalam sejarah 80 tahun Vuelta dengan empat kategori satu dan satu kategori pendakian khas.

Froome bermula dengan teruk selepas kemalangan pada hari sebelumnya memaksa beliau berjalan dengan tongkat pada akhir peringkat perlumbaan.

Froome (kiri) merentasi garisan penamat peringkat ketujuh 191.1km Vuelta Sepanyol di antara Jodar dan La Alpujarra di Capileira 28 Ogos lalu. – AFP
Froome (kiri) merentasi garisan penamat peringkat ketujuh 191.1km Vuelta Sepanyol di antara Jodar dan La Alpujarra di Capileira 28 Ogos lalu. – AFP

“Saya dilanggar dari tepi dan terdorong ke arah dinding batu hari ini. Imbasan lanjut dibuat pada waktu pagi ini dan saya tidak mungkin menyertai kerana tidak dapat berjalan tanpa tongkat,” katanya di Twitter pada Rabu.

“Saya benar-benar menghargai semua mesej sokongan. Saya melakukan yang terbaik untuk bertahan sebaik mungkin di sana hari ini dengan harapan untuk meneruskan perlumbaan.”

Ketiadaan Froome merupakan tamparan terbaru penganjur jelajah perlumbaan yang telah dicemari kemalangan berbahaya dan kontroversi.

Ujian masa berpasukan pada peringkat pertama tidak diambil kira dalam klasifikasi keseluruhan kerana ia dianggap terlalu berbahaya.