Froome juarai Jelajah Perancis buat kali kedua

Froome juarai Jelajah Perancis buat kali kedua

PARIS, 27 Julai (AFP) – Chris Froome berkata dia merasa ‘luar biasa’ selepas memenangi gelaran Jelajah Perancis buat kali kedua semalam dalam persaingan yang menyaksikannya didakwa menipu, meludah dan disimbah dengan air kencing.

Penunggang berusia 30 tahun dari Britain itu melepasi garisan penamat di Champs Elysees, Paris bersaing dengan rakan sepasukan Sky untuk memenangi mahkota Grand Boucle kedua selepas kejayaannya pada 2013.

“Ini adalah satu perlumbaan yang hebat. Apa yang boleh saya katakan? Saya merasakan banyak emosi,” kata Froome selepas menamatkan peringkat ke-21 perlumbaan.

“Sudah tentu ia jelajah yang begitu sukar baik di atas atau ketika turun dari basikal. Saya merasa gembira berada di sini dengan jersi kuning.

“Terdapat beberapa kesukaran, beberapa tekanan di luar perlumbaan tetapi itulah perlumbaan basikal pada 2015.”

Froome (tengah) menjulang trofi juara sambil diapit oleh naib juara Quintana (kiri)) dan pemenang tempat ketiga, Valverde (kanan) sambil disaksikan oleh Menteri Sukan dan Belia Perancis Patrick Kanner (kiri) di perkarangan Champs-Elysees di Paris, semalam. – AFP
Froome (tengah) menjulang trofi juara sambil diapit oleh naib juara Quintana (kiri)) dan pemenang tempat ketiga, Valverde (kanan) sambil disaksikan oleh Menteri Sukan dan Belia Perancis Patrick Kanner (kiri) di perkarangan Champs-Elysees di Paris, semalam. – AFP

Froome menghadapi dakwaan menipu sejak kejayaan lalunya di Grand Boucle dua tahun lalu, dan mengadu seorang penonton menyimbah air kencing sambil melaungkan ‘dope’ ketika peringkat ke-14 bagi perlumbaan tahun ini.

Kejayaannya hadir selepas dakwaan dadah yang membayangi sukan itu, terutamanya selepas Lance Armstrong, yang memenangi tujuh Jelajah dilucutkan gelarannya selepas skandal yang sudah lama berlaku.

Akhbar Britain menyanjung kejayaan Froome dalam edisi hari ini dengan tabloid The Sun memaparkan muka depan dengan tajuk, ‘Saya tidak menipu: Kejayaan Froome jelas’, sementara The Telegraph pula memilih tajuk ‘Percaya kepada saya’.

Andre Greipel dari Jerman memenangi peringkat akhir perlumbaan, dan kemenangan keempatnya tahun ini dan ke-10 pada puratanya untuk berada di depan Bryan Coquard dari Perancis dan Alexander Kristoff dari Norway.

ARTIKEL YANG SAMA