Froome waspada pasangan Movistar

Froome waspada pasangan Movistar

GAP, Perancis, 23 Julai – Pemimpin Jelajah Perancis Chris Froome mengakui dia sentiasa memberi perhatian kepada pasangan Movistar Nairo Quintana dan Alejandro Valverde yang juga pencabar terdekat beliau.

Quintana dari Colombia, kedua secara keseluruhan pada 3 minit 10saat dengan pelumba Sepanyol Valverde ketiga pada 4 minit 09saat. Tetapi Froome amat mengagumi taktik Movistar pada peringkat ke-17 dari Digne-les-Bains ke Pra Loup semalam. Ketika dia bersendirian tanpa rakan sepasukan pada pendakian terakhir sehingga ke garisan penamat, Quintana dan Valverde mempunyai dua lagi pelumba Movistar bersamanya.

“Mereka sangat bagus dari segi taktikal. Mereka membiarkan pelumba memisahkan diri awal hari ini (Rabu) supaya dapat mengiringi apabila mencapai kemuncak pendakian kedua terakhir (dan membantu pemimpin mereka). Ia merupakan tunggangan yang sangat menakjubkan untuk mendapatkan tempat dalam penyudah di sana,” kata Froome, 30.

Dengan Froome seorang diri, Tejay Van Garderen terpaksa meninggalkan perlumbaan kerana sakit dan Alberto Contador pula dua minit di belakang selepas terjatuh.

Juara bertahan Vincenzo Nibali masih dalam kumpulan Froome tetapi ketinggalan lebih lapan minit di tempat ketujuh. Menurut Froome, pesaing yang dia perlu ambil berat hanyalah Quintana dan Valverde.

Froome (kanan) menunggang di depan rakan sepasukan dari Belanda Wouter Poels semasa persaingan peringkat ke-18 Jelajah Perancis antara Gap dan Saint-Jean-de-Maurienne, semalam. – AFP
Froome (kanan) menunggang di depan rakan sepasukan dari Belanda Wouter Poels semasa persaingan peringkat ke-18 Jelajah Perancis antara Gap dan Saint-Jean-de-Maurienne, semalam. – AFP

“Bagi saya kebimbangan utama adalah Alejandro Valverde dan Quintana. Merekalah yang perlu saya awasi dalam kumpulan itu. Pada dasarnya, ia menjadikan tugas saya lebih mudah berbanding jika saya terpaksa memikirkan lapan atau sembilan orang. Mereka adalah pasangan yang perlu diberi perhatian,” kata pelumba Britain itu.

Froome bagaimanapun mengakui bukan sahaja terkejut dengan taktik Movistar, tetapi Contador dan Nibali mula menyerang pada 50km pertama sebelum perlumbaan menjadi lebih mencabar.

“Ia memberikan rasa apa yang diharapkan tiga hari lagi. Ada tiga lagi peringkat sukar untuk dilalui dan pesaing akan mengasak saya sehingga ke penamat dan mereka juga bersaing untuk selesai di podium.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA