FRS dapat sambutan menggalakkan

FRS dapat sambutan menggalakkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Sistem Penyewaan Kemudahan Kerajaan secara online atau Facilities Rental System (FRS) yang dilaksanakan secara Perkongsian Awam Swasta dengan kerjasama Telekom Brunei Berhad (TelBru) yang dilancarkan pada 22 Ogos 2016 telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

FRS membolehkan orang ramai khususnya para pengguna untuk membuat tempahan bagi menggunakan kemudahan-kemudahan awam, termasuk yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk bersukan dan beriadah.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya, hari ini, mengongsikan bahawa setakat ini lebih 750 tempahan tempat sukan dan riadah telah dibuat dan dibayar secara online, yang mana pada Oktober sahaja, sebanyak 565 tempahan telah dibuat iaitu peningkatan lebih 400 peratus berbanding September.

Antara jenis sukan yang menerima banyak tempahan adalah futsal sebanyak 379 tempahan, bola sepak 151 tempahan, bola jaring 80 tempahan, badminton 71 tempahan dan tenis 33 tempahan,

Kemudahan-kemudahan lain yang juga menerima peningkatan tempatan secara online termasuklah snuker dan biliard, dodgeball, bola tampar dan skuasy.

Dewan teater, Kementerian Kewangan.
Dewan teater, Kementerian Kewangan.
Kompleks Sukan, Berakas.
Kompleks Sukan, Berakas.

Dalam masa yang sama, menurut kenyataan itu lagi, kemudahan yang paling popular menerima tempahan secara online adalah Padang Futsal JKR iaitu sebanyak 131 tempahan, Padang Futsal Kompleks Sukan Menglait 96 tempahan, Padang Futsal A Kompleks Sukan Berakas 93 tempahan, Padang Futsal B Kompleks Sukan Berakas 51 tempahan dan Padang Bola Sepak JKR sebanyak 49 tempahan.

Sehubungan itu, Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan mengalu-alukan agensi kerajaan yang lain untuk sama-sama ikut serta dalam penyediaan kemudahan masing-masing untuk didaftarkan di dalam FRS bagi membolehkan tempahan dibuat secara online dan memudahkan orang awam menggunakannya.

Jabatan berkenaan juga mengalu-alukan orang ramai untuk menggunakan kemudahan kerajaan bukan sahaja tempat-tempat sukan malahan dewan-dewan bagi tujuan kekeluargaan atau perniagaan seperti beberapa dewan terpilih di Pusat Persidangan Antarabangsa, Pusat Belia dan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Dewan Teater Kementerian Kewangan dan beberapa kemudahan kerajaan lain yang telah pun berdaftar dengan FRS.

Tempoh penempahan boleh dibuat 90 hari lebih awal daripada tarikh penggunaan. Ini akan membolehkan para penganjur membuat perancangan lebih awal bagi penganjuran sesuatu acara dan menyediakan masa yang mencukupi bagi mengumpulkan dan menggalakkan penyertaan orang ramai bagi sukan atau acara-acara tersebut.

Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi Jabatan Perbendaharaan di talian 2383444 atau melalui e-mel ke alamat ppp@treasury.mof.gov.bn atau melayari laman sesawang www.12book.com.bn.

ARTIKEL YANG SAMA