FSB, BBA rebut juara kejohanan CHMS Alumni

FSB, BBA rebut juara kejohanan CHMS Alumni

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Pasukan Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei (FSB) dan Pasukan Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) menempah tempat ke perlawanan akhir bagi menentukan juara Kategori A (tertutup) Kejohanan Bola Keranjang Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan (CHMS Alumni) 2015.

Kedua-dua pasukan berkenaan berjaya menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Gelanggang Persatuan Bola Keranjang Brunei, Batu Bersurat, kelmarin.

Dalam aksi separuh akhir pertama, BBA berjaya menewaskan CHMS Alumni 96-69 untuk menempah tempat ke perlawanan akhir kejohanan. Manakala pada separuh akhir kedua pula, FSB juga berjaya menewaskan Pasukan Persatuan Hainan Brunei 68-63, untuk menempah tempat pada perlawanan akhir.

Pemain Pasukan CHMS Alumni membuat jaringan semasa perlawanan separuh akhir menentang Pasukan BBA, kelmarin.
Pemain Pasukan CHMS Alumni membuat jaringan semasa perlawanan separuh akhir menentang Pasukan BBA, kelmarin.

Dengan keputusan itu, FSB berpeluang untuk bertemu sekali lagi dengan BBA dan menebus kekalahan di tangan pasukan berkenaan pada pertemuan pertama pusingan awal kejohanan. Pasukan CHMS Alumni pula akan bertemu Pasukan Persatuan Hainan Brunei untuk menentukan pemenang tempat ketiga.

Perlawanan akhir Kategori A akan berlangsung pada 5 Disember bermula jam 7:30 malam manakala perlawanan penentuan tempat ketiga pula akan diadakan pada 3 Disember bermula jam 7:30 malam dengan kedua-dua perlawanan akan diadakan di Gelanggang Persatuan Bola Keranjang Brunei, Batu Bersurat.

ARTIKEL YANG SAMA