FTA: EU minat berunding semula dengan ASEAN

FTA: EU minat berunding semula dengan ASEAN

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) – Kesatuan Eropah (EU) berminat menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan ASEAN kerana ia melihat rantau ini sebagai satu kuasa ekonomi yang sedang berkembang pesat.

Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN, Chris Humphrey berkata sekarang adalah masa yang baik untuk memulakan semula rundingan kerana ASEAN sedang menyepadukan ekonominya dan perniagaan Eropah semakin berminat untuk berdagang di rantau ini.

Setakat ini, terdapat kira-kira 11,000 perniagaan Eropah beroperasi di ASEAN.

“Kami berharap dapat memulakan semula rundingan FTA EU-ASEAN. Ia bukan mudah atau dengan segera, tetapi perlu dimulakan. Pesuruhjaya Eropah telah menyatakan komitmen untuk mengkaji semula situasi ini lewat tahun ini,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Ke-47 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.

Pada April, perkumpulan 10 anggota ASEAN dan EU bersetuju untuk mengambil langkah menyambung semula rundingan mengenai FTA yang terhenti antara kedua-dua blok serantau itu.

Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN, Chris Humphrey. – Bernama
Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN, Chris Humphrey. – Bernama

ASEAN dan EU melancarkan rundingan FTA pada 2007, tetapi terhenti pada 2009 ekoran perbezaan pendapat terutamanya yang berkaitan dengan kebimbangan Eropah terhadap rekod hak asasi manusia dan rejim politik Myanmar.

“EU ialah rakan dagangan kedua terbesar ASEAN dan kami tidak ada FTA dengannya, tetapi dengan negara-negara seperti China dan Jepun.

Kami berpendapat bahawa kami agak ketinggalan dan Suruhanjaya Eropah menyedari keperluan bagi kami untuk lebih terlibat (dalam FTA EU-ASEAN),” kata Humphrey.

Mengenai pengajaran daripada penyepaduan ekonomi Eropah, beliau berkata ASEAN perlu menyepadukan ekonomi mengikut kadar kemajuannya sendiri dan menegaskan bahawa rantau ini perlu mengukuhkan sekretariatnya dengan memberikan ia peranan yang lebih besar.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia Fermin Fautsch berkata, tiada halangan ekonomi utama terutamanya dalam kalanganm negara-negara yang terlibat merundingkan FTA dengan EU.

“(Tetapi) selalunya akan ada isu-isu sensitif yang perlu dihadapi setiap negara dan sesetengah daripadanya berkaitan politik, termasuk hak asasi manusia,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA