FTK kargo udara Asia Pasifik susut 0.3 % pada Jun

FTK kargo udara Asia Pasifik susut 0.3 % pada Jun

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan penurunan dalam kilometer tan fret (FTK) sebanyak 0.3 peratus pada Jun 2015 berbanding tempoh sama pada 2014 sejajar dengan trend global yang menurun.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata rantau itu mengalami kelembapan yang ketara dalam import dan eksport dalam beberapa bulan ini, dan data terkini menunjukkan aktiviti perdagangan Asia sedang pesat membangun susut 8.0 peratus.

“Pertumbuhan bagi setakat ini pada tahun ini sebanyak 5.4 peratus.

“Selain pertumbuhan perdagangan yang lemah, rantau itu paling terdedah kepada pasaran China yang dasar kerajaan lebih tertumpu kepada merangsang pasaran domestik,” menurut IATA dalam kenyataan di sini hari ini.

Di peringkat global, laporan separuh tahun bagi kargo udara tidak menggalakkan dengan pertumbuhan hanya 1.2 peratus berbanding Jun tahun lepas, memberi petunjuk bahawa pasaran pada dasarnya tidak berkembang.

Mengenai prospek, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Tony Tyler berkata selain baki tahun ini mempunyai petunjuk bercampur-campur, jangkaan umum adalah memacu pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, keyakinan perniagaan dan pesanan eksport adalah kelihatan lemah. “Kargo udara dan ekonomi global akan meraih manfaat jika kerajaan boleh memberi tumpuan kepada usaha untuk menstabilkan pertumbuhan danmerangsang perdagangan termasuk dengan menghapuskan halangan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA