FTK syarikat penerbangan Asia-Pasifik naik 1.3 peratus

FTK syarikat penerbangan Asia-Pasifik naik 1.3 peratus

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) – Kilometer tan fret (FTK) syarikat penerbangan Asia-Pasifik pada Januari 2016, yang menyumbang hampir 39 peratus penguasaan fret udara dunia, berkembang 1.3 peratus tahun ke tahun, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam satu kenyataan, ia berkata faktor muatan fret (FLF) rantau ini bagaimanapun jatuh 2.3 peratus kepada 49.8 peratus, manakala syarikat penerbangan rantau lain juga melaporkan kemerosotan dalam FLF mereka.

IATA berkata, prestasi syarikat penerbangan Asia-Pasifik menerima kesan penguncupan perdagangan di Asia pada separuh kedua 2015 dan perdagangan am yang lemah ke Asia-Pasifik dan sebaliknya.

Sementara itu, pasaran fret udara global mencatat peningkatan 2.7 peratus dalam FTK berbanding Januari 2015 (tahap tertinggi sejak April tahun lepas).

Jumlah FTK industri itu melepasi paras tertinggi yang dicatat pada Februari 2015 dengan semua rantau, kecuali Afrika dan Amerika Latin berkembang pada Januari.

“FLF, bagaimanapun jatuh 1.8 peratus kepada 41.3 peratus, menunjukkan yang hasil mungkin menerima tekanan lagi.

“Walaupun dengan permulaan yang baik, prestasi perdagangan global yang lemah akan menjadikannya sukar untuk pertumbuhan meningkat dengan pesat dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.