FTTH di BSB dipertingkat

FTTH di BSB dipertingkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Dalam usahanya untuk mempertingkatkan perkhidmatan dan kesalinghubungannya, Telekom Brunei Berhad (TelBru) memaklumkan bahawa kerja-kerja pengemaskinian perkhidmatan Fibre-To-The-Home (FTTH) di beberapa buah kawasan di ibu negara pada 7, 8, 10 dan 11 September ini.

Menurut kenyataan TelBru, hari ini, kawasan yang terlibat termasuk Flat Kerajaan Simpang 32, Jalan Kiarong, sepanjang Jalan Dato Ratna dari Simpang 1 hingga 50 dan sepanjang Jalan Kiarong dari Simpang 14 hingga 32 pada 7 September, dan kawasan sepanjang Simpang 74-56 hingga 74-73, Jalan Mata-Mata pada 8 September.

Sementara itu, pada 10 September, kawasan yang terjejas termasuk Bangunan Komersial di Jalan Kiulap Simpang 88, Hotel Palm Garden, Blok A Bangunan Hj Abdul Rahman, Hotel Qlap Plaza, Bangunan Kiulap Mall, Bangunan Suria Kiulap, Bangunan Seri Anigma Kiulap, Bangunan Chop Kim San Kiulap, Bangunan Mawar 1, Bangunan Kompleks Seri Kiulap dan Bangunan Mawar 2.

Pada 11 September, kawasan yang terlibat adalah Bangunan Teck Guan Plaza, Jalan McArthur, Bangunan Dar Takaful IBB 2, Lorong Gerai Timor, Bangunan Wisma Raya, Lorong Gerai Timor, Bangunan Wisma Geik Tee, Jalan McArthur, Bangunan Kompleks Membeli-belah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bangunan Bank Islam Brunei Darussalam, Jalan Lorong Timor dan Sapphira Cake House, Lorong Gerai Timor.

Kerja-kerja penambahbaikan berkenaan dijangka mengambil masa dua jam bagi setiap kabinet bermula dari 11:00 malam hingga 1:00 pagi pada hari yang disebutkan.

Berikutan dengan kerja-kerja berkenaan, para pelanggan TelBru yang tinggal di kawasan-kawasan yang terjejas berkenaan akan mengalami gangguan perkhidmatan High Speed Broadband (HSBB) bagi telefon dan internet semasa tempoh tersebut.

Sehubungan itu, TelBru memohon maaf atas sebarang kerumitan yang disebabkan oleh perkara ini. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Pusat Pelanggan di talian 111.