FTZ Nansha platform tingkat kerjasama

FTZ Nansha platform tingkat kerjasama

NANSHA, China, 4 Mei (Bernama) – Zon Pelabuhan Perdagangan Bebas Nansha yang baru ditubuhkan, sebahagian daripada Zon Perdagangan Bebas Guangdong di China Selatan, akan menjadi platform untuk meningkatkan kerjasama dalam transformasi dan meningkatkan pemprosesan perdagangan dengan negara-negara di sepanjang Laluan Sutera Maritim, termasuk Malaysia.

Kerjasama perniagaan seperti dalam RMB rentas sempadan (mata wang China) perkhidmatan penyelesaian dan pembangunan kewangan internet akan digalakkan di pelabuhan itu, kata Zhang Benhua, Timbalan Ketua Pengarah Jawatankuasa Pentadbiran Zon Pembangunan Nansha Guangzhou.

Bentuk kerjasama lain termasuk reka bentuk bersama produk, penggubalan bersama standard ujian dan pemetaan bersama standard untuk teknologi dok, kata Zhang yang juga Timbalan Ketua Pengarah Jawatankuasa Pentadbiran Zon Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTZ) Nansha Guangzhou.

“Ketika ini, pentadbiran pelabuhan sedang berbincang dengan tiga buah syarikat Malaysia berhubung pemetaan standard untuk teknologi dok. Kami masih melaksanakan kajian awal,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Zhang berkata Pelabuhan Nansha akan menggabungkan kepakarannya sendiri dan asas perindustrian sedia ada untuk menggalakkan sistem inovasi perniagaan yang baharu untuk FTZ.

“Pelabuhan Nansha akan bekerjasama dengan FTZ di Shanghai, Tianjin dan Fujian,” katanya.

Ketika ini, China mempunyai empat FTZ di seluruh negara. FTZ yang pertama di Shanghai dilancarkan pada September 2013 manakala tiga FTZ yang lain – utara pelabuhan Tianjin, wilayah selatan Guangdong dan wilayah tenggara Fujian – dilancarkan pada 21 April.

Zon Guangdong seluas 116.2 kilometer persegi akan mempunyai tiga pangkalan di bandar Kawasan Baharu Nansha Guangzhou, Zon Pembangunan Shenzhen Qianhai dan Kawasan Baharu Zhuhai Hengqin.

Perkapalan, logistik, kewangan, perdagangan antarabangsa dan pengeluaran bernilai tinggi antara industri utama yang akan dikendalikan oleh Pelabuhan Nansha, satu-satunya dermaga laut dalam di barat Delta Sungai Pearl, antara wilayah ekonomi terkemuka China dan pusat pengeluaran utama.