Fun Bee Park adakan lawatan pendidikan

Fun Bee Park adakan lawatan pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis – Fun Bee Park, sebuah pusat pembelajaran sehenti, baru-baru ini, telah menganjurkan beberapa lawatan pendidikan bagi ahli-ahlinya sebagai sebahagian daripada aktiviti cuti sekolah hujung tahun ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, menerusi lawatan ke ladang lebah di Tutong, Fun Bee Park bermatlamat untuk meluaskan pengalaman pembelajaran menyeronokkan menerusi lawatan.

Pada 12 Disember lalu, Fun Bee Park dan beberapa orang kanak-kanak telah mengadakan lawatan ke Hotel Radisson yang telah menjalani pengubah suaian baru-baru ini.

Semasa lawatan itu, Kris Karmila dari hotel berkenaan telah memberikan penjelasan mengenai kemudahan yang terdapat di sana seperti Bilik Standard/Deluxe, spa, pusat kecergasan, restoran dan kafe, kolam renang dan lobi.

Kanak-kanak dan ibu bapa mereka mempelajari bagaimana kakitangan hotel mengekalkan keteraturan dan aliran lancar operasi daripada prosedur pembersihan kepada perhubungan pelanggan.

Lawatan ke hotel berkenaan dianjurkan untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak bagi melihat sendiri operasi hotel serta berinteraksi dengan kakitangan hotel tanpa mengira jawatan mereka.

Sementara itu, baru-baru ini, Fun Bee Park telah menganjurkan lawatan pertama mereka ke Sorisso Restaurant and Pizzeria yang terletak di Regent Square, Kiulap.

Menerusi lawatan itu, kanak-kanak berpeluang membuat piza mereka sendiri bermula daripada menggiling doh menjadi bentuk bulat, menyapu sos piza dan menambah hiasan di atasnya seperti hirisan ayam, cendawan dan potongan nanas.

Cef restoran berkenaan turut menunjukkan cara betul menguli dan menggiling doh piza untuk mencapai tekstur yang sempurna.

Doh piza yang mereka hasilkan itu kemudian dibakar dalam ketuhar sebelum dihidangkan kepada kanak-kanak berkenaan bersama jus oren segar.

Selepas lawatan berkenaan, rombongan kembali ke Fun Bee Park untuk menghasilkan piza tanah liat mini menggunakan kertas kadbod kitar semula, tanah liat tidak bertoksik dan cat akrilik.

Lawatan diakhiri dengan penyerahan sijil dan beg cenderahati daripada Pengarah Kreatif Fun Bee Park, Cecilia Lee. Lawatan terakhir dijadualkan pada 26 Disember ini ke Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan pengalaman mengenai latihan kecemasan dan mengenai sesi kraf tangan menghasilkan lencana tanah liat untuk diserahkan kepada anggota bomba.

Selain daripada lawatan-lawatan, pusat aktiviti dalam bangunan itu juga mengadakan aktiviti pada waktu pagi seperti berkebun, kelas-kelas memasak, projek seni dan kelas membuat kek dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Masih banyak aktiviti yang disediakan di Fun Bee Park untuk penyertaan kanak-kanak, termasuk sesi berkebun pada 28 Disember, kelas memasak esok (22 dan 29 Disember), kelas seni pada 23 dan 30 Disember dan kelas membuat kek pada 24 dan 31 Disember.

ARTIKEL YANG SAMA