Fungsi masjid perlu dimanfaat, diperluas

Fungsi masjid perlu dimanfaat, diperluas

KUCHING, 15 April (Bernama) – Masyarakat perlu memanfaatkan dan memperluaskan fungsi masjid, yang kini bukan lagi hanya menjadi tempat untuk menunaikan solat semata-mata, malah kini memiliki peranan lebih luas.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata masjid boleh dijadikan sebagai platform terbaik dalam merapatkan hubungan dan menyebar ajaran agama Islam kepada seluruh masyarakat.

Beliau berkata selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai tempat rujukan dan juga saluran rundingan dalam usaha menyelesaikan apa jua kekusutan yang timbul dalam masyarakat.

“…janganlah kita abaikan tanggungjawab untuk menaikkan taraf masjid,” katanya ketika berucap merasmikan Masjid Darul Hana, Kampung Seberang Hilir di sini hari ini.

Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Puan Sri Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan isteri Puan Sri Jamilah Anu serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (tengah) melihat pelan pembangunan Darul Hana sebelum merasmikan Masjid Darul Hana kelmarin. – Bernama
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (tengah) melihat pelan pembangunan Darul Hana sebelum merasmikan Masjid Darul Hana kelmarin. – Bernama

Sementara itu, Adenan dalam ucapannya berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong projek pembangunan mana-mana kampung dan kawasan persekitarannya yang membabitkan kemudahan awam seperi masjid, baik di Darul Hana, di Sibu, Miri, Bintulu dan seluruh pelosok negeri.

Menyentuh soal projek pembangunan di sekitar Masjid Darul Hana, beliau berkata ia merupakan transformasi Kampung Seberang Hilir bagi meningkatkan tahap kualiti hidup, keselamatan dan kesihatan penduduk tetapi masih mengekalkan warisan serta suasana kampung.

“Ia juga meningkatkan taraf dan imej kawasan tepian sungai sepanjang 4.1 kilometer bermula dari Kampung Boyan sehingga Kampung Bintawa Hilir. Projek ini antara lain mengubah suai kawasan perkampungan yang ada kepada sebuah kawasan yang lebih teratur, menjadi tarikan pelancong, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan,” katanya.